PEGAWAI JPJ Kuala Lumpur maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Jalan Sungai Buloh-Kepong, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


PETALING JAYA: “Kehilangan adik adalah berita yang sukar diterima oleh ibu kami. Dalam tempoh singkat ibu menerima khabar pemergian tiga ahli keluarga,” kata Johari Jaafar, 38, abang kepada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur yang maut dalam kemalangan, kelmarin.

Adiknya, Mohd Jamil Iskandar Jaafar, 35, disahkan meninggal dunia selepas motosikal ditunggang dipercayai terbabas di Jalan Sungai Buloh-Kepong berhampiran Decathlon Sri Damansara di sini, jam 6.45 petang.

Johari berkata, ibunya Salimah Mohd Yassin, 62, amat terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa anak ketiga daripada tujuh beradik itu.

“Sabtu lalu bapa saudara di Pagoh, Johor meninggal dunia, malam tadi (kelmarin) ibu dimaklumkan mengenai pemergian adik.

“Awal pagi tadi (semalam) pula ahli keluarga di Johor Bahru, memaklumkan ibu saudara saya meninggal dunia. Berita kematian tiga ahli keluarga kami ini sukar diterima ibu, namun dia reda dengan semua ini,” katanya, ketika dihubungi, semalam.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah adiknya adalah pada hujung minggu lalu ketika Mohd Jamil Iskandar berkunjung ke rumahnya di Bandar Country Homes, Rawang.

“Arwah dikenali sebagai seorang yang suka memberikan senyuman selain bersikap periang. Pemergian arwah amat memberi kesan kepada kami khusus isteri dan dua anak yang amat rapat dengannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Lagenda 110Z dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sendiri dan dia disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:45 AM