ANTARA enam pelajar UTM Skudai yang terlibat membuat kajian struktur bangunan lama Sekolah Tinggi Segamat (STS).
Ahmad Ismail


SEGAMAT: Sekumpulan penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menjalankan kajian secara tidak sengaja menemui artifak berusia hampir 100 tahun milik Sekolah Tinggi Segamat (STS) di sini.

Peninggalan lama membabitkan sejumlah blok kayu mengandungi gambar serta besi digunakan sebagai cop untuk majalah sekolah itu ditemui mereka di bahagian dalam bumbung bangunan sekolah.

Ketua kumpulan penuntut terbabit, Alief Iqmal Abdul Rahim, 21, berkata, semua barangan bersejarah itu ditemui ketika dia bersama lima penuntut Fakulti Alam Bina dan Ukur Jurusan Sarjana Muda Seni Bina UTM, Skudai melakukan kajian di bangunan sekolah itu.

Katanya, mereka perlu melengkapkan kajian dua subjek iaitu Kajian Warisan (Heritage Study) dan Ukuran Lukisan (Measured Drawing).

“Kedua-dua subjek itu memerlukan kami mengukur sebuah sekolah lama di sekitar daerah Segamat, Johor. Kami memilih Sekolah Tinggi Segamat atau dikenali dulu Government English School (GES) bagi tujuan itu,” katanya semalam.

Menurutnya, pasukannya turut merekodkan asas awal struktur sejarah bangunan ini hingga mampu bertahan kini selain tugas mengukur blok asal iaitu Blok A yang dibina pada 1926.


PELBAGAI artifak dianggarkan berusia hampir 100 tahun ditemui disembunyikan dalam bumbung bangunan Goverment English School (GES) kini dikenali Sekolah Tinggi Segamat (STS).

“Tugas ini dilakukan bersama rakan kuliah, Muhamad Daniel Faris Iris, 22; Salihin Suhaimi, 25; Nur Afiqah Syahirah Muhamed Azam Shah, 22; Wan Fatin Aimie Wan Abdullah, 22 dan Nor Ezzati binti Razali, 22, bulan lalu.

“Ketika mengukur bahagian dalam bumbung bangunan itu, kami menemui puluhan artifak mengenai sekolah itu antaranya sejumlah blok kayu mengandungi gambar serta besi digunakan sebagai cop untuk majalah sekolah.

“Selain itu kami menemui jubin lama dan kerusi besi berkarat tetapi mengandungi tulisan Government English School.

“Kami amat teruja dengan penemuan ini kerana ia ditemui secara tidak langsung ketika melakukan kajian, bahkan pelbagai peninggalan bersejarah ini amat bermakna kepada tenaga pengajar dan keluarga bekas pelajar terdahulu,’ katanya.

“Kami turut mengumpul data daripada penduduk sekitar dan juga alumni berhubung aspek pembinaan sekolah ini selain turut dibantu Pengarah Eksekutif Institut Sultan Iskandar, Prof Dr Syed Ahmad Iskandar Syed Ariffin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 5:50 AM