Redzuan Muharam


“APA yang saya lakukan sebahagian daripada usaha dakwah dan mudah-mudahan hati mereka terbuka untuk memeluk Islam,” kata Hazizul Masdin, bilal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam, Selangor.

Hazizul, 36, memberi reaksi itu bagi mengulas mengenai rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang pelancong Jepun wanita ternganga ketika beliau melaungkan azan.

Video berdurasi tiga minit enam saat itu menarik perhatian warganet selepas Hazizul memuat naiknya di Facebook dan Youtube miliknya.

Menceritakan perkara sebenar, Hazizul berkata, video berkenaan dirakam secara spontan oleh rakannya yang juga Imam Masjid Bukit Damansara, Fadhil Abdul Rahman pada Ramadan lalu, dua hari sebelum sambutan Aidilfitri.

Menurut Hazizul, beliau melaungkan azan ketika itu bagi memenuhi permintaan sekumpulan pelancong bukan Muslim dari Jepun yang kebetulan mengikuti lawatan di MSSAAS.


RAKAMAN video tular di media sosial yang memaparkan Hazizul melaungkan azan di hadapan pelancong Jepun. FOTO video tular

“Pada mulanya, mereka mengajak saya bergambar kemudian meminta saya melaungkan azan sambil merakamnya menggunakan telefon bimbit.

“Namun, saya tidak sedar dengan reaksi seorang daripada pelancong berkenaan sehingga menonton semula rakaman itu dan terkejut kerana situasi berkenaan jarang berlaku.

“Saya muat naik di laman sosial dengan niat untuk berkongsi dengan pengikut.

“Alhamdulillah, banyak komen positif diterima dan bersyukur dengan penerimaan baik daripada warganet,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Hazizul yang sudah lapan tahun berkhidmat sebagai bilal berkata, besar harapannya supaya perkongsian itu dapat menyentuh hati golongan bukan Muslim yang menonton untuk memeluk Islam.

“Perkongsian video itu salah satu cara saya untuk berdakwah dengan cara tersendiri dan mudah-mudahan ia dapat menyentuh hati mereka yang menonton.

“Pada masa sama, saya juga mengharapkan doa orang ramai kerana siapa tahu, ia termakbul hingga mereka (pelancong) terbuka hati untuk memeluk Islam,” katanya.


Hazizul yang juga bilal Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Ihsan Hazizul Masdin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 9:19 PM