KUALA LUMPUR: Tiga sahabat bakal merentas 24 negara dengan menaiki kereta Toyota AE86 dalam misi mereka untuk membawa nama Malaysia.

Mekanik, Engku Mohammad Hadri Engku Hassan, 34 berkata, jelajah itu akan melalui perjalanan lebih 25,000 kilometer bermula 9 Ogos depan dan dijangka melengkapkan perjalanan pada pertengahan November depan.

Menurutnya, dia akan menjalani perjalanan mencabar itu bersama dua lagi rakannya iaitu Abdul Rahman Khalid, 33, yang akan bertindak sebagai mekanik utama manakala Nur Sharmila Khalid, 38, sebagai pemandu arah sepanjang perjalanan mereka di sana.

“Saya suka mengembara. Sebelum ini, pergi luar negara hanya menggunakan kapal terbang namun kali ini saya mahu buat kelainan dengan membawa kereta sendiri.

“Di sana nanti, kami akan singgah di setiap negara itu dan memperkenalkan nama Malaysia serta memandu uji kereta di litar yang ada di sana.

“Salah satunya adalah litar Nürburgring di Jerman yang terkenal dengan kesukaran laluannya,” kata pemuda yang berasal dari Kuala Lumpur.

Sambil menyelam minum air, dalam perjalanannya ke sana nanti, dia akan berkahwin dengan tunangnya yang juga warga Jerman iaitu Derya Susan, 30.

“Saya sudah mengenali dia hampir 10 tahun dan kami sudah bertunang hampir empat tahun. Namun, atas beberapa faktor dan masalah kesihatan dia, jadi kami terpaksa tunda perkahwinan kami.

“Insya-Allah, kami akan melangsungkan perkahwinan kami di Jerman pada 2 November depan dengan bertemakan budaya Malaysia. Keluarga saya semua akan tunggu di sana dengan menaiki kapal terbang,” katanya.

Perjalanan mereka mendapat tajaan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, F Tuned Racing Suspension: Roaming Man, RezaAutopart dan beberapa syarikat lain lagi serta menelan belanja RM250,000.

Mereka akan memulakan misi itu dari Putrajaya seterusnya merentasi Thailand, Laos, China, Mongolia, Russia, Latvia, Estonia, Lithuania, Belarus, Poland, Czechia, Austria, Slovakia, Hungary, Croatia, Slovenia, Itali, Switzerland, Luxembourg, Jerman, Belanda, Belgium dan Perancis.

Dalam pada itu, dia berkata, keretanya akan ditinggalkan di Belanda bagi meneruskan misi jelajah mereka ke Sepanyol, Portugal, Ireland, United Kingdom dan Scotland pada Mac 2020.

Engku Mohammad Hadri berkata, tahap persiapan mereka ke sana sudah siap 80 peratus siap termasuk urusan visa.

“Semuanya sudah hampir selesai termasuk persiapan kami dari fizikal dan juga mental. Cuma tinggal nak pergi kursus pertolongan cemas serta membuat suntikan khas bagi membolehkan kami ke luar negara

“Kereta pun sekarang ada di bengkel dan kini berada dalam persiapan terakhir. Minggu depan, kami akan membawanya ke litar Sepang untuk ujian memandu,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, dia sangat teruja dan gembira apabila Engku Mohammad Hadri memilihnya bagi melakukan kerja penyelenggaraan kereta itu sepanjang perjalanan mereka di sana.

“Saya ditugaskan untuk menjaga dari segi penyelenggaraan serta alat gantian yang akan dibawa ke sana. Tidak banyak yang boleh dibawa berikutan ruang kereta yang agak terhad,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:45 AM
ENGKU Mohammad Hadri menunjukkan foto tunangnya, Derya.
ENGKU Mohammad Hadri (kanan) bersama Abdul Rahman menyelenggara kereta yang akan digunakan untuk kembara merentasi benua Asia hingga Jerman bulan Ogos depan.