NADIA terima tawaran apabila jalan cerita menarik walaupun sibuk urus majlis perkahwinan.
Norhayati Nordin


BIARPUN sibuk dengan persiapan majlis perkahwinan yang dijangka berlangsung pada November nanti, Nadia Brian, 28, masih menerima tawaran berlakon.

Nadia atau nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi memberitahu sukar untuk dia menolak tawaran yang jalan cerita dan wataknya menarik.

Ditemui pada majlis pelancaran koleksi perhiasan wanita di ibu kota, Nadia berkata persiapan majlis perkahwinannya baru 50 peratus dibuat.

“Memang masih banyak urusan untuk majlis perkahwinan nanti tetapi saya kena bahagikan masa antara kerjaya dan peribadi. Saya mahu kedua-duanya bergerak seiring.

“Apatah lagi dapat pula tawaran berlakon drama yang menarik jalan cerita dan wataknya, sukar untuk saya tolak. Tayangan slot juga agak popular iaitu Akasia TV3, ia adalah rezeki dan peluang,” katanya.

Nadia yang mengikat pertunangan dengan Mu'izz Nasruddin pada 4 Mei lalu berkata, bakal suaminya itu sangat memahami.

“Walaupun tahu bukan senang nak buat persiapan majlis perkahwinan, saya dan Mu'izz cuba melakukannya dengan seronok serta tenang.


NADIA dan Mu'izz bakal disatukan November depan .

“Kami tidak meletakkan urusan persiapan itu sebagai bebanan. Kami bahagikan tugas memandangkan masing-masing sibuk dengan kerja,” katanya.

Kata pelakon filem Ratu Kala Jengking itu, apabila membahagikan tugas, dia dan Mu'izz tidaklah berkepit sepanjang masa.

“Ramai cakap apabila bertunang darah manis dan banyak dugaan. Namun, hubungan saya dan Mu'zz baik-baik saja. Bagaimanapun, saya tetap mahu minta maaf kepada sesiapa saja yang berasa tersinggung dengan segala perbuatan dan tindakan saya yang tak sedap mata memandang.”

“Kalau ada yang salah, saya minta maaf. Rasanya setakat ini tidaklah sampai mengganggu atau memberi reputasi buruk kepada keluarga mahupun syarikat pengurusan saya,” katanya.

Mengakui selesa bersikap positif dan menerima setiap teguran warganet di Instagram (IG) dengan hati terbuka, Nadia menganggap dirinya disayangi.

“Apa saja teguran sama ada membina atau sebaliknya, saya tetap terima dengan hati terbuka. Saya melihat teguran itu sebagai tanda orang sayang kita.

“Saya tak benci mereka yang menegur saya walaupun bahasanya kasar. Alhamdulillah, saya boleh terima dengan baik dan berlapang dada,” katanya.

Menurut Nadia, dia tidak suka kusutkan kepala memikirkan masalah. Baginya, lebih baik bertenang dan cari jalan penyelesaian.


TUNANG hormat keputusan Nadia.

TUNANG HORMAT KEPUTUSAN NADIA

Berbeza cabang karier tidak bermakna sukar mendapat kesepakatan dalam membuat keputusan. Itulah dilalui Nadia dan Mu'izz yang saling menyokong.

Nadia berkata, sikap Mu'izz yang senang bertoleransi itu membuatkan dia melihat keperibadian tunangnya itu sebagai

‘satu dalam sejuta’.

“Mu'izz bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat swasta. Dia sangat memahami dan tidak pernah beri tekanan kepada saya dalam membuat keputusan.

“Apatah lagi, saya pula selesa membuat keputusan sendiri kerana sudah biasa berdikari. Malah, sebagai wanita saya fikir tidak boleh terlalu bergantung kepada pasangan.

“Adalah wajar untuk kita saling membantu dan menyokong di antara satu sama lain dalam karier masing-masing. Dalam soal ini, saya dan Mu'izz bertindak matang serta profesional,” katanya.

Mengenai projek lakonan terbaharu, Nadia teruja membintangi drama Lelaki Seperti Dulu arahan Eoon Shuhaini untuk TV3 sebanyak 20 episod.

Drama yang bakal menemui penonton September nanti itu turut dibintangi Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose sebagai teraju utama.

Mengulas watak lakonannya Nadia berkata, kali ini dia bawa watak wanita moden yang sentiasa kelihatan cantik, menarik dan hebat.

“Saya sukakan karakter ini kerana ia mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Sebagai pelakon, saya sangat mentitikberatkan watak,” katanya.

Menurut Nadia, walau pun watak dilakonkan itu menonjolkan sisi hitam dan jahat, dia tidak kisah dibenci asalkan penghujungnya ada mesej yang baik untuk tatapan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 6:00 AM