JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu berjaya menangkap seekor harimau di Kampung Besul Lama, Bukit Besi dekat Dungun, hari ini.

Difahamkan, harimau jantan terbabit ditembak dengan peluru pelali ketika sedang berehat dalam kawasan terletak kira-kira 300 meter daripada jalan utama di kampung terbabit pada 3.30 petang.

Pengarah PERHILITAN Terengganu Dr Abdul Malik Mohd Yusof berkata, seramai 22 anggotanya menyambung kembali operasi mengesan dan mencari haiwan terbabit kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, pasukannya dipecahkan kepada tiga kumpulan dan satu kumpulan operasi berjaya menemui harimau terbabit.

“Ketika sedang meronda di hutan sekitar 500 meter dari jalan utama, pasukan kami menemui harimau terbabit.


Harimau yang dipercayai masuk kawasan Kampung Besul Lama, Bukit Besi di Dungun berjaya ditangkap PERHILITAN, hari ini. Foto Imran Makhzan

“Kami memasang ubat pelali sebelum menembaknya dan menyebabkannya rebah,” katanya.

Menurutnya, anggota turut memandikan harimau terbabit bagi menyedarkan haiwan itu selepas terkena pelali itu.

Katanya, haiwan itu juga sudah dimasukkan ke dalam sangkar dan kini dibawa ke surau kampung berkenaan untuk sementara waktu.

“Harimau ini akan dibawa Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak,” katanya.

Dr Abdul Malik berkata, berdasarkan aduan penduduk yang mendakwa masih ada seekor lagi harimau di kawasan berkenaan.

Katanya, susulan aduan itu pihaknya akan meneruskan operasi terbabit.

“Kita tidak berhenti di sini dan akan meneruskan operasi mengesan seekor lagi harimau terbabit sehingga ditemui.

“Kita berterima kasih kepada penduduk yang memberi kerjasama yang baik bagi melancarkan operasi kami ini, “katanya.

Berita berkaitan

Harimau 'jinak' berjaya ditangkap [METROTV]

Umpan ayam perangkap harimau

Hebat Ayoh Wang kite...

Seram sejuk badan dijilat harimau

Rimau `jinak' masuk kampung [METROTV]

Harimau haiwan peliharaan?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 6:45 PM