Redzuan Muharam


“MUJURLAH kucing saya selamat. Apa yang berlaku memberi peringatan untuk sentiasa memeriksa kenderaan sebelum memandu,” kata Eva Martha Reeta, 20.

Eva yang menetap di Taman Kemena Raya, Bintulu, Sarawak mengulas mengenai video dimuat naiknya di Twitter yang tular di laman sosial dan sehingga kini meraih 160,000 tontonan, 11,500 ulang ciap dan lebih 7,500 tanda suka.

Menerusi rakaman video berdurasi 45 saat itu, Eva dilihat sedang mengundurkan kereta tanpa menyedari kucing peliharaannya masih berada di atas bumbung kenderaannya.

Bercerita lanjut, Eva berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika dia mahu ke rumah bapa saudara bagi mengambil sepupu untuk dihantar ke sekolah.

Katanya, disebabkan sudah terlewat, dia tidak sempat memeriksa apa yang ada di atas bumbung keretanya, pada waktu itu.

Dia terus memandu kira-kira tiga minit sebelum menyedari kejadian selepas diberitahu oleh pengguna jalan raya lain.

“Memang ada dengar suara kucing tetapi saya sangkakan bunyi itu datang dari arah luar hingga pemandu kereta di belakang membunyikan hon sewaktu kereta saya berhenti di lampu isyarat.

“Mujurlah dia sempat bertindak dengan memintas kenderaan saya ketika membuang pusingan-U dan membuka tingkap bagi memberitahu mengenai apa yang berlaku.

“Saya terus memberhentikan kenderaan seterusnya berhenti di bahu jalan bagi menyelamatkan Cimek (panggilan untuk kucing) dan terus membawanya pulang selepas itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Eva berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sejak dia memelihara kucing berkenaan, kira-kira 11 tahun lalu.

“Cimek gemar tidur di atas bumbung kereta dan itu sudah menjadi tabiatnya sejak dulu lagi .

“Kebiasaannya, Cimek bangun awal iaitu kira-kira 6 pagi setiap hari dan pasti beredar turun dari bumbung kereta selepas enjin dihidupkan.

“Sebaliknya, dia kekal di atas bumbung kereta saya semalam walaupun kenderaan sudah bergerak dan itu yang menghairankan saya,” katanya yang juga anak bongsu daripada tiga beradik.

Menurut Eva , dia memuat naik video berkenaan petang semalam dengan niat untuk berkongsi pengalaman itu dengan pengikutnya.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila perkongsian itu tular hingga mendapat pelbagai maklum balas daripada warganet.

“Berdasarkan maklum balas diterima, kebanyakannya (warganet) terhibur dengan video berkenaan tidak kurang juga meluahkan rasa bimbang seandainya Cimek terjatuh.

“Saya sekeluarga juga tergelak sewaktu menonton semula video itu yang dirakam daripada kamera litar tertutup (CCTV) di rumah.

“Apa pun, saya akan lebih berhati-hati selepas ini kerana tidak mahu perkara sama berulang,” katanya yang kini menuntut di peringkat Ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di sebuah kolej swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:00 PM
RAKAMAN CCTV menunjukkan Cinmek di atas bumbung kenderaan yang mengundur. (Gambar kecil) Cinmek gemar tidur di atas bumbung kenderaan. FOTO Ihsan Eva Martha Reeta