Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


IDENTITI tiga beranak yang rentung dalam kebakaran di perkampungan Sungai Isap 2, Kuantan, hari ini, dikenal pasti.

Mangsa dikenali Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, dan Muhamamd Adam Daniel, 7.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul berkata, siasatan awal mendapati tiga mangsa berada di bilik belakang rumah mereka dan dipercayai sedang tidur.

“Ketika kejadian terdapat lapan mangsa di rumah itu. Lima mangsa berjaya keluar sementara tiga yang lain tidak dapat diselamatkan.

“Empat mangsa turut cedera dipercayai terkena sambaran api ketika cuba menyelamatkan ahli keluarga mereka.

“Kita percaya kebakaran bermula dari bahagian tengah rumah sebelum merebak ke kawasan lain,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.


ANGGOTA bomba mengawal kebakaran kira-kira 30 minit selepas tiba di lokasi. FOTO Azim Fitri

Mohd Sani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.57 pagi dan tiba 10 minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati empat rumah turut terbakar dengan dua daripadanya hangus.

“Seramai 17 anggota dengan dua jentera tiba ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran... api berjaya dikawal kira-kira 30 minit kemudian,” katanya.

Difahamkan empat mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan keterangan mereka akan diambil bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan:

  • Tiga beranak maut
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 11:04 AM
    ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengusung jenazah tiga beranak yang meninggal dunia dalam kebakaran. FOTO Zulkepli Osman