SEBAHAGIAN daripada ibu bapa yang hadir pada sidang media susulan anak mereka terkesan akibat pencemaran udara di sekitar Pasir Gudang. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani


PASIR GUDANG: “Ini tidak ada kena mengena dengan mental, ini gangguan kesihatan,” kata Abdul Hanif Majid, 45, bapa kepada pelajar yang terkesan akibat pencemaran udara, di sini, sejak Mac dan 20 Jun lalu.

Abdul Hanif berkata, dia kesal apabila anaknya, Nurul Sakinah, 15, yang terkesan dengan dua insiden pencemaran itu dipanggil mendapatkan rawatan di Bahagian Psikiatri Hospital Permai, Tampoi, Khamis lalu.

“Saya kesal mengapa anak saya perlu dapatkan rawatan mental, sedangkan gangguan mental dan kesihatan boleh dibezakan.

“Pada saya, anak tidak ada masalah mental dan mengapa saya perlu layan (membawa anak ke Hospital Permai),” katanya yang tampil berkongsi isu terkini berkaitan mangsa pencemaran udara, di sini.

Katanya, dia mengabaikan perkara itu kerana apa dimahukan supaya anaknya diberikan rawatan.

“Saya lihat sendiri keadaan anak yang lembik dan mulut berbuih di depan saya, setiap kali minta penjelasan pelbagai alasan tidak masuk akal diberikan.

“Saya minta anak menjalani imbasan x-ray pada paru-paru kerana ia membabitkan masalah pernafasan, tetapi doktor enggan melakukannya,” katanya.

Katanya, doktor turut mempersoalkan mengapa perlu dilakukan imbasan x-ray dan apa yang boleh dilihat daripadanya.

Abdul Hanif berkata, dia menceritakan pengalamannya berdepan denggi dan doktor melakukan imbasan x-ray pada paru-paru untuk melihat kerosakan.


DARI kiri: Abdul Hanif dan Jamaludin. FOTO Zain Ahmed

Katanya, dalam kejadian pencemaran pertama pada Mac lalu, dua anaknya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort berdepan simptom loya, pening dan muntah.

“Seorang anak saya (Nurul Sakinah) dimasukkan ke wad Hospital Sultan Ismail (HSI) tiga hari dan sekali lagi berdepan simptom sama Jun lalu.

“Gelombang terbaru itu menyebabkan anak sekali lagi dalam keadaan tidak bermaya dan fizikalnya semakin lemah. Paling mengejutkan, bomba dan Jabatan Kimia mengesan bahan radioaktif di dalam rumah, selain meminta kami keluar dan ambil pakaian dari rumah di Taman Tanjung Puteri,” katanya.

Jamaludin Abdul Malik, 41, berkata, anak perempuannya, Nor Syadira Balqis, 13, yang belajar di sekolah sama turut dibawa ke Hospital Permai.

“Saya membawa anak bertemu pakar di Klinik Kanak-Kanak Hospital Permai, Khamis lalu untuk menjalani sesi soal jawab.

“Pada sesi itu, anak saya diajukan soalan kira-kira dua jam dan soalan ditanya lebih kepada situasi kesihatan dihadapinya,” katanya.

Katanya, ketika itu dia berharap ujian darah turut dilakukan ke atas anaknya namun perkara itu tidak berlaku.

Menurutnya, sebagai ibu bapa dia menyokong pelbagai usaha dilakukan termasuk dari segi psikologi, bagaimanapun untuk jangka masa panjang mereka ingin tahu sama ada darah anak tercemar dengan bahan kimia atau sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 6:00 AM