Amirul Haswendy Ashari.


“KECAMAN yang datang hanya daripada warganet (netizen) saja walhal dari kawan-kawan dan keluarga, semua dapat sokongan dan pujian.

“Malah, pihak universiti pun berkongsi swafoto itu di IG (Instagram) rasmi mereka,” kata pelajar Malaysia, Mohd Ashraaf Iqmal Mohd Radzi, susulan tindakannya berswafoto dengan Canselornya pada sesi konvokesyen menarik perhatian warganet sejak dua hari lalu.

Menerusi laman sosial Twitter dan IG menggunakan nama Acap Iqmal, dia berkongsi beberapa keping foto swafoto selepas menerima skrol pada majlis konvokesyen University of Essex, United Kingdom, pada 15 Julai lalu.

Susulan perkongsian itu, pelbagai reaksi diterima termasuk kecaman daripada segelintir warganet yang beranggapan tindakannya itu tidak menghormati majlis.

Mohd Ashraaf ketika dihubungi, mengakui terkejut apabila foto-foto itu mulai tular.

“Saya ‘konvo’ pada 15 Julai lalu dan tindakan saya itu tidak pula menimbulkan masalah kepada pihak universiti, sebaliknya mereka memuji dan menyokong.

“Seperti yang boleh dilihat pada laman sosial rasmi universiti, @essexebs dan @uniessex, mereka bangga dengan pencapaian pelajar mereka yang meraikan dengan cara tersendiri,” katanya.

Melalui satu rakaman video yang dirakam rakannya, Mohd Ashraaf kelihatan mengeluarkan telefon bimbit ketika berjalan menuju ke tengah pentas sebaik saja namanya dipanggil.

Selepas menerima skrol, dia dilihat berbisik kepada Canselor untuk meminta izin mengambil foto.

Malah Mohd Ashraaf dalam satu Tweet berangkai memberitahu, Canselor mengizinkannya berbuat demikian.

Pada majlis yang sama berlangsung pada sesi petang, seorang pelajar luar negara dilamar kekasihnya untuk berkahwin dan video lamaran itu dikongsi di IG universiti sama.

Imbas kembali, seorang graduan yang mengambil swafoto pada majlis konvokesyen UiTM dikenakan tindakan digantung pengajian pada tahun 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 7:21 PM
MOHD Ashraaf Iqmal bergambar dengan Canselor universitinya. FOTO Ihsan IG uniessex