KESAN luka pada bahu dan badan Papi dipercayai akibat digigit anjing lain sebelum Amirul membawanya untuk dirawat di PAWS.
Alias Abd Rani


HATINYA tersentuh tatkala melihat seekor anjing dalam keadaan tidak bermaya menahan kesakitan dipercayai akibat diserang anjing lain lalu segera menyelamatkan haiwan itu, dua hari lalu.

Naluri menyelamatkan haiwan itu muncul dalam diri penuntut Kolej Intec, Shah Alam yang hanya dikenali sebagai Amirul, 19, apabila dia tidak sampai hati melihat keadaannya yang semakin parah.

Pada awalnya, Amirul kerap terserempak dengan anjing dipanggil ‘Papi’ itu, namun dia bersama rakan tidak mengendahkannya kerana haiwan itu tidak mengganggu orang lain.

“Saya tidak peduli tetapi kerap memberinya makan. Hari berikutnya, saya mahu keluar ke klinik dan terdengar bunyi salakan kuat seperti menahan kesakitan.

“Tanpa membuang masa, saya segera ke tempat terbabit dan ternampak dua lelaki sedang menolak anjing itu menggunakan paip.

“Saya menjerit ke arah lelaki itu supaya berhenti dan melihat anjing itu terbaring dalam longkang. Saya lihat anjing itu semakin lemah lalu mengambil kain untuk mengangkatnya dan diletakkan dalam kotak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, melihat keadaan anjing itu tidak bermaya, dia cuba mencari Pertubuhan Kebajikan Haiwan (PAWS) yang terdekat untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, mereka akhirnya terjumpa PAWS di Subang dan dia bersama rakan menyewa Grab untuk ke sana.

“Sebaik tiba, kakitangannya memberitahu anjing itu perlu disuntik ubat untuk menamatkan riwayatnya berikutan keadaan makin teruk.

“Pada masa sama, kami dikehendaki membayar lebih RM200. Tiba-tiba datang seorang pekerja wanita di pusat terbabit berunding dengan pengurusnya supaya mengambil haiwan itu untuk dirawat.

“Sebaik mengetahui kami masih belajar, seorang lagi pekerja wanita datang kepada kami dan memberitahu dia akan menanggung semua kos rawatan anjing itu,” katanya yang menetap di Seksyen 18, Shah Alam.

Amirul berkata, dia bersyukur kerana berjumpa orang sanggup menjaga haiwan itu walaupun mengetahui keadaan yang teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Julai 2019 @ 9:45 PM