KUMPULAN Inteam rancang duet dengan beberapa penyanyi baru namun belum putuskan calonnya.
Norhayati Nordin

KEJAYAAN kerjasama kumpulan nasyid Raihan dan penyanyi Alif Satar dengan lagu Sesungguhnya yang dirakam semula cukup menarik perhatian. Tidak dinafikan, ia turut menyuntik semangat kumpulan nasyid lain untuk bekerjasama dengan penyanyi pop masa kini sebagai usaha menyemarakkan kembali irama nasyid.

Dua dekad masih aktif di persada seni tanah air, kumpulan In-Team giat muncul dengan karya baru yang relevan.

Sempena musim haji, In-Team tampil dengan lagu LabbaikAllah hasil ciptaan sepenuhnya komposer berkaliber, Frizdan.

Diterbitkan Inteam Records Sdn Bhd, lirik lagu LabbaikAllah sudah dimuat naik di YouTube sejak dua minggu lalu dan mencatat lebih 14,000 tontonan.

In-Team yang pernah popular pada era 2000 dianggotai Mohd Syahril Abdul Khalid atau Syahril, Muhammad Hazamin Harun (Hazamin), Hisyam Ahmad @Ahmadiah (Hisyam) dan Abdul Rahim Osman (Rahim).

Mengulas kejayaan Raihan bersama Alif Satar, Syahril berkata In-Team sebenarnya pernah berduet dengan Alif tiga tahun lalu.

“Ketika itu, kami (In-Team) dan Alif bekerjasama merakamkan satu lagu nasyid lama untuk projek ‘tribute’ buat Allahyarham Ahmadi Hassan.

“Cuma, pada masa itu kerjasama berkenaan tidak tular. Jadi, ramai tidak tahu In-Team pernah berduet dengan Alif,” katanya.

In-Team yang popular dengan lagu Kasih Kekasih dan Nur Kasih bagaimanapun ada perancangan untuk bergandingan dengan penyanyi baru.

Menurus Syahril, setakat ini sudah ada beberapa nama namun mereka belum memutuskan calonnya.

“Antara nama yang disenarai pendek ialah Alif Satar, Khai Bahar dan Sufian Suhaimi. Apapun, belum ada keputusan lagi,” katanya.

Ditanya mengenai kriteria pilihan, Syahril berkata, setiap penyanyi ada kekuatan vokal tersendiri dan mereka perlu berbincang.

“Kami pun kena cari ‘resipi’ sama seperti Raihan. Oleh itu, In-Team tidak mahu terburu-buru selain memantapkan platform digital kami.

“Apapun, terbaru In-Team sudah merakamkan lagu berjudul Dia yang berkisar soal cinta dan kasih sayang dengan kerjasama Harry Khalifah,” katanya.

Sehubungan itu, In-Team turut melancarkan lagu duet selawat dwibahasa berjudul Talama Ashku dengan penyanyi kelahiran Macedonia, Mesut Kurtis pada Mei lalu.

Untuk rekod, In-Team pernah meraih pencapaian jualan album tertinggi iaitu Kasih Kekasih pada 2000 sebanyak 80,000 unit diikuti Impian Kasih (2001, terjual 50,000 unit) dan Damba Kasih (2003, terjual 50,000 unit).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 5:30 AM