PEMAIN PDRM, Azmizi Azmi (kiri) cuba melepasi pemain Pulau Pinang, Sergio Fabian Ezequiel Aguero (dua dari kiri) di Stadium Hang Jebat, Krubong. FOTO/MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Lokman Zainal Abidin dan Meor Riduwan Meor Ahmad dan Firdaus Hashim


SKUAD Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhak ke saingan Liga Super musim depan dan bukan faktor nasib Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (Penang FA) yang dipotong mata oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengurus The Cops, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, pihaknya tidak mahu perkara itu dimanipulasikan.

“Saya rasa tidak sesuai dikaitkan PDRM layak ke Liga Super musim depan atas faktor nasib Penang FA dipotong mata. Sebaliknya, keputusan perlawanan UiTM dengan Negeri Sembilan yang menentukan nasib kami. Bahkan, kedua-dua pasukan juga sudah tahu lebih awal mengenai pemotongan mata itu,” katanya dihubungi Arena Metro semalam.

Ditanya mengenai persediaan untuk Liga Super, beliau berkata, ia akan dimuktamadkan selepas pertemuan dan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya akan maklumkan terlebih dulu kepada Tan Sri Muhyiddin untuk menentukan hala tuju pasukan dan juga saya sebagai pengurus pasukan. Saya akan maklumkan secepat mungkin secara peribadi kepada beliau mengenai PDRM layak ke Liga Super. Selepas mendapat arahan saya akan keluarkan kenyataan rasmi.

“Mengenai pasukan memang kita sudah mencongak secara suka-suka siapa (pemain) akan diambil, dikekalkan dan sebagainya,” katanya.


PEMAIN Pulau Pinang, Kang Seungjo (kanan) dihalang pamain PDRM, Muhamad Eskandar Ismail.

Kamarul Ariffin berkata, beliau kini turut menjadi pengurus skuad Bawah-19 tahun kebangsaan dan jika diberi ruang untuk pimpin PDRM sekali lagi, mungkin dengan pendekatan berbeza.

“Semuanya bergantung kepada pertemuan saya dengan Tan Sri Muhyiddin. Seperti sedia maklum beliau amat berhemah dalam perbelanjaan sejajar polisi Pakatan Harapan. Insya-Allah PDRM bukan sekadar pelengkap,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih PDRM, E Elavarasan turut senada anak buahnya layak atas faktor dua pasukan teratas Liga Perdana, UiTM dan Negeri Sembilan tidak konsisten.

“Nasib PDRM terpulang pada perlawanan terakhir N Sembilan dan UiTM. Kalau kita kalah mereka naik 30 mata, kalau seri tengok pada jaringan. Tapi UiTM atau N Sembilan tidak gunakan kekalahan PDRM,” katanya.

Semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan pasukan PDRM menjadi pasukan pengganti kepada Pulau Pinang dalam saingan Liga Super musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima surat daripada FIFA yang mengarahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya membuat pemotongan enam mata ke atas skuad Pulau Mutiara itu.

Sementara itu, selepas banyak pihak tampil dengan pelbagai telahan termasuk menyalahkan FAM gara-gara kegagalan Pulau Pinang untuk beraksi di Liga Super musim depan, badan induk kebangsaan itu tampil dengan kenyataan yang agak mengejutkan.

“Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) sebenarnya sudah tahu bahawa mereka akan dikenakan hukuman pemotongan enam mata oleh FIFA.

“Ia dimaklumkan FIFA secara terus kepada FAP sejak bulan lalu. Justeru, tidak ada sebab mengapa FAP mesti terkejut dengan hukuman itu. FIFA dan FAP saling berutus surat mengenai perkara itu dan kami di FAM, hanya diberikan salinan setiap surat berkenaan saja.

“Kami di badan induk, cuba sedaya upaya untuk membantu FAP dalam kes ini, tetapi FIFA tetap dengan keputusan memotong enam mata Pulau Pinang dan ia tidak boleh dirayu,” kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:01 AM