Awang Besul yang ditemui di Kampung Besul Lama, Dungun, Terengganu 19 Julai lalu disahkan mati hari ini.
Mohd Husni Mohd Noor


AWANG Besul, harimau belang yang ditemui berkeliaran di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu 19 Julai lalu disahkan mati hari ini ketika berada dalam rawatan dan kuarantin di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) dalam kenyataan hari ini berkata, harimau berkenaan disahkan mati 5.30 pagi tadi oleh doktor veterinar yang merawatnya.

Beliau berkata, harimau itu mati akibat ‘Canine Distemper’ iaitu penyakit yang disebabkan oleh virus yang mudah menyerang haiwan domestik iaitu anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesies harimau.

“Selepas pelbagai usaha intensif untuk merawat dan menyelamatkan ‘Awang Besul’ dijalankan, dukacita dimaklumkan 23 Julai 2019, pada 5.30 pagi, ‘Awang Besul’ disahkan mati di NWRC oleh doktor veterinar daripada PERHILITAN dan bedah siasat akan dijalankan secepat mungkin,” katanya.

Katanya, Awang Besul dipindahkan ke NWRC 19 Julai lalu bagi mendapatkan rawatan intensif daripada doktor veterinar dan pemantauan sejak 20 Julai hingga hari ini mendapati, terdapat tanda klinikal neurologi iaitu tidak agresif, berpusing satu arah apabila berjalan, sawan dan tanda klinikal jangkitan saluran pernafasan.

Menurutnya, rawatan yang diberikan kepada haiwan liar itu adalah secara simptomatik atau rawatan sokongan selain mengambil sampel darah, serum dan swab sebelum dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh, Perak 21 Julai lalu untuk ujian penuh.

“Keputusan virologi diterima pada 22 Julai lalu menunjukkan ‘Awang Besul’ positifvirus Canine Distemper.

“Jika penyakit ini terkena pada harimau ia menunjukkan tingkah laku tidak takut kepada manusia dan kebarangkalian harimau untuk sembuh adalah sangat tipis.

“Jabatan tidak menolak kemungkinan Canine Distemper yang dihadapi Awang Besul disebarkan oleh haiwan liar di sekitar Kampung Besul lama, Bukit Besi, Dungun Terengganu,” katanya.

Katanya, jabatan masih memantau kawasan itu dan memasang perangkap harimau bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun Terengganu.

Selain itu katanya, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) menyeru orang ramai menyalurkan maklumat terus kepada PERHILITAN dengan menghubungi talian 1-800-88-5151 jika terserempak dengan harimau itu.

Pada 19 Julai lalu, PERHILITAN berjaya menangkap seekor harimau belang yang berkeliaran di sekitar Kampung Besul Lama, Bukit Besi Daerah Dungun, Terengganu dan pemeriksaan fizikal pada haiwan itu mendapati wujud kecederaan pada bahagian kaki, keradangan mata selain keadaan harimau itu yang berada dalam keadaan dehidrasi.

Berita berkaitan

Harimau 'jinak' berjaya ditangkap [METROTV]

'Pak Belang' jalani ujian makmal

Umpan ayam perangkap harimau

Hebat Ayoh Wang kite...

Seram sejuk badan dijilat harimau

Rimau `jinak' masuk kampung [METROTV]

Harimau haiwan peliharaan?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 4:29 PM