ZAKARIA (dua dari kanan) bersama isterinya Halimah, bersama mangsa anaknya, Muhammad Hamadi dan menantu, Nur Syuhadah Zaini yang maut dalam nahas kemalangan motosikal. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


“ARWAH berdua sepatutnya menghantar kami ke kompleks haji (Tabung Haji) hari ini, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana mereka berdua terlebih dahulu dijemput Ilahi sebelum kami berangkat ke Tanah Suci,” kata Zakaria Tajuddin, 61.

Zakaria adalah bapa kepada mangsa kemalangan Muhammad Hamadi Zakaria, 31, yang maut bersama isterinya, Nur Syuhadah Zaini, 31, dalam nahas di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan dekat Petaling Jaya semalam.

Dia yang ditemui Harian Metro berkata, beliau berasa sedih dan masih terkejut dengan kehilangan anak sulung dan menantunya sehari sebelum berangkat menunaikan haji.

“Pada awalnya, saya ingin menunda tarikh bertolak ke Makkah namun, atas sokongan isteri (Halimah Mohd Isa, 60) saya menjadikan kisah sedih itu sebagai penguat semangat dan cuba untuk menghadapi kenyataan bahawa anak sulung saya sudah tiada.

“Apa yang berlaku ada hikmahnya dan kami berdua akan mendoakan kesejahteraan mereka berdua di Makkah nanti,” katanya kepada media sebelum berangkat ke Makkah pada 4 petang ini dengan penerbangan Malaysia Airlines di Kompleks Tabung Haji (TH), Sepang.

Dalam kejadian 8.30 pagi semalam, Muhammad Hamadi dan isteri, Nur Syuhadah maut selepas terbabit kemalangan di lorong motosikal lebuh raya berkenaan.

Motosikal kuasa tinggi, Honda CBR500 ditunggang mereka dipercayai merempuh motosikal yang terbabit kemalangan sebelum itu.

Jenazah Muhammad Hamadi Zakaria dan isteri, Nur Syuhadah Zaini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, malam tadi.

Berita berkaitan

Air mata ibu sebelum ke Tanah Suci

Sebak hajat anak, menantu tak kesampaian

Suami isteri maut rempuh motosikal bergesel

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:53 PM