Redzuan Muharam


MESKIPUN baru berusia 14 tahun, Mohamed Arief Hariz Mohamed Azrin bijak menggunakan kreativitinya untuk mencipta alat pengecas mudah alih (power bank), tanpa bantuan sesiapa.

Mohamed Arief Hariz yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru mengambil masa selama sejam saja untuk mencipta alat berkenaan dan tidak sangka percubaan sulungnya itu membuahkan hasil.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, idea mencipta alat berkenaan tercetus selepas abang sulungnya, Mohamed Amir Hariz, 21, menyuarakan keinginan untuk membeli power bank.

“Alat itu bukan dicipta untuk projek sekolah tetapi inisiatif saya sendiri dan sebelum menciptanya, saya minta dulu pandangan guru selain merujuk buku kejuruteraan.

“Kebetulan, bahan diperlukan seperti kotak terpakai, pengecas telefon bimbit di dalam kereta, suis, wayar , bateri sembilan voltan dan ‘glue gun’ ada di rumah jadi saya tidak perlu mengeluarkan modal untuk menciptanya.

“Selepas selesai, saya cuba alat itu pada telefon bimbit menggunakan kabel USB dan terkejut apabila ia berfungsi selepas cubaan kali pertama,” katanya kepada Harian Metro.

MOHAMED ARIEF HARIZ bergambar dengan power bank ciptaannya . FOTO Ihsan Twitter Mohamed Amir Hariz.
MOHAMED ARIEF HARIZ bergambar dengan power bank ciptaannya . FOTO Ihsan Twitter Mohamed Amir Hariz.

Menurut Mohamed Arief, buat masa ini, alat itu boleh mengecas telefon bimbit untuk tempoh 30 minit.

Katanya, dia bercadang melakukan penambahbaikan bagi membolehkan alat itu berfungsi untuk tempoh lebih lama dan sempurna seperti yang ada di pasaran.

“Saya terkejut selepas video ciptaan saya itu tular di media sosial dan berterima kasih kepada mereka yang memberi idea.

“Memang ada perancangan untuk melakukan penambahbaikan antaranya dengan menambah lampu dan menukar kotak dengan alat lain yang lebih kukuh.

“Diharap, saya dapat merealisasikanya kerana siapa tahu, ia boleh dikomersialkan nanti dan menjadi impian saya untuk mencipta lebih banyak inovasi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Amir Hariz berkata, niatnya memuat naik video berkenaan (video ciptaan Mohamed Arief) adalah untuk berkongsi ciptaan adiknya dengan pengikut di Twitter.

Bagaimanapun, Mohamed Amir tidak menyangka perkongsian video itu mendapat perhatian dan reaksi positif daripada warganet.

“Saya ada suarakan keinginan untuk membeli power bank tetapi menangguhkannya kerana belum menerima gaji dan tak sangka, ia memberi idea untuk adik (gelaran untuk Mohamed Arief) mencipta alat berkenaan.

“Sebagai abang, sudah tentu saya kagum dengan kepintarannya mencipta alat itu kerana dia melakukannya sendiri tanpa bantuan sesiapa.

“Disebabkan itu, saya berkongsi gambar ciptaannya kelmarin sebelum memuat naik video di Twitter semalam bagi berkongsi dengan pengikut serta membuktikan alat berkenaan benar-benar berfungsi,” katanya yang juga graduan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka.

Setakat jam 7 malam ini, video ciptaan Mohamed Arief sudah mencapai 35,100 tontonan, manakala gambar dimuat naik pula mendapat lebih 7,600 ulang ciap dan 6,400 tanda suka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 9:00 PM
MOHAMED Amir Hariz memuat naik gambar power bank ciptaan adiknya. FOTO Ihsan Twitter Mohamed Amir Hariz.
MOHAMED Amir Hariz memuat naik gambar power bank ciptaan adiknya. FOTO Ihsan Twitter Mohamed Amir Hariz.