TUNKU Ismail Sultan Ibrahim.
Firdaus Hashim


JAWATAN Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kemungkinan dimansuhkan selepas sering menerima kritikan kononnya pengerusi badan pentadbir liga tempatan iaitu Tunku Ismail Sultan Ibrahim memiliki sentimen berat sebelah selaku pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Pegawai Eksekutif (MFL), Kevin Ramalingam berkata, cadangan berkenaan turut mendapat sokongan Tunku Ismail yang melihat langkah penstrukturan semula itu bakal memantapkan lagi pentadbiran MFL yang tidak lagi diterajui pengerusi sebaliknya dikawal sepenuhnya Ahli Lembaga Pengarah.

Malah, jelas Kevin, cadangan pemansuhan jawatan itu juga adalah sebahagian daripada penstrukturan semula pentadbiran berdasarkan Pelan Strategik Next50 MFL 2021-2070 yang dilancarkan pada 15 Julai lalu.

Bagaimanapun, keputusan untuk meminda perlembagaan itu bergantung kepada persetujuan 24 rakan kongsi MFL iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia pada kongres September depan.

Sebelum itu, beliau berkata, ia terlebih dulu dibincangkan dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang dijangka berlangsung pada minggu depan sebelum diusulkan kepada kongraes.

“Agak mustahil untuk MFL beroperasi sekiranya terdapat persepsi negatif yang berterusan terhadap MFL jika mana-mana satu wakil dilihat mempunyai kuasa lebih tinggi berbanding orang lain. Namun, ini cuma persepsi kerana Pengerusi MFL (Tunku Ismail) tidak pernah menggunakan mana-mana kuasanya sebagai pengerusi untuk mempengaruhi sesuatu keputusan.

“Untuk makluman, ada beberapa kali Pengerusi MFL enggan mengundi dalam sesuatu mesyuarat dalam membuat keputusan. Ini untuk memastikan ahli lembaga pengarah dapat membuat keputusan dengan lebih bebas.

“Walaupun penstrukturan semula yang dicadangkan itu mungkin dianggap lebih adil bagi sesetengah pihak, realiti MFL sebenarnya bertuah dan bernasib baik untuk mempunyai pimpinan Tunku Ismail di mana matlamatnya selalu menuju ke arah kebaikan Liga Malaysia secara umum dan tidak pernah mengambil kira mengenai diri baginda sendiri,” katanya.

Jelas Kevin, mengikut proses, MFL akan memanggil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah membabitkan pertemuan rakan kongsi liga.

“Ini akan dilakukan pada minggu selepas berakhir final Piala FA 2019. Apabila rakan kongsi mengadakan mesyuarat, mereka akan mengundi untuk meluluskan sebarang perubahan dalam struktur MFL, tetapi niat Tunku Ismail sangat jelas dan baginda konsisten dalam membuat keputusannya untuk kepentingan MFL,” katanya.

Untuk rekod, Tunku Ismail pernah memegang jawatan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Mac 2017, namun hanya bertahan selama setahun sebelum meletakkan jawatan.

Begitupun, beliau kemudiannya dilantik Pengerusi MFL menerusi keputusan sebulat suara oleh semua 24 pemegang taruh pada Kongres Tahunan MFL kali kedua pada 25 Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 6:00 AM