GAMBAR terkini Ainul yang dimuat naik di Instagram ibunya, Nurul Erwani. Foto Intsagram Nurul Erwani Zaidi, @_nrlerwani
Rizanizam Abdul Hamid


SELEPAS kepulangannya ke tanah air sebelum ini dibatalkan pada saat akhir, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin dijadualkan akan tiba ke Malaysia minggu ini.

Perkara itu disahkan ibu saudara bayi berkenaan, Anis Syakirah Ahmad Razak, 19 ketika ditemui Harian Metro di rumah keluarganya di Ayer Molek di Melaka, hari ini.

“Ya, Ainul dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 pagi pada minggu ini.

“Maaflah kami tidak dapat berkongsi tarikh yang lebih tepat untuk kebaikan dan keselamatan Ainul dan berharap rakyat memahaminya,” katanya.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas status dimuat naik ibu bayi berkenaan, Nurul Erwani Zaidi semalam yang memaklumkan kepulangan Ainul dalam waktu terdekat.

Pada 9 Julai lalu, Harian Metro melaporkan penerbangan pulang Ainul Mardhiah dari United Kingdom yang sepatutnya dijadual tiba di negara ini petang itu terpaksa dibatalkan susulan masalah kesihatan dihadapinya.

Mengulas lanjut, Anis Syakirah berkata, dia dan keluarga akan bertolak sehari lebih awal dari Melaka dan bermalam di rumah saudara di Selangor sebelum bertolak ke KLIA.

“Walaupun hati ini terlalu rindukan Ainul, kami pihak keluarga pun hanya akan melihat Ainul dari jauh untuk kebaikannya.

“Saya difahamkan, sebaik tiba jam 7 pagi, Ainul akan terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan.

“Kami harap masyarakat dapat mendoakan keselamatannya dan segala-galanya berjalan lancar sehingga Ainul betul-betul sihat,” katanya.

Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di Hospital Kanak-kanak di UK pada 10 Jun lalu.

Kesihatannya terus menunjukkan perkembangan positif apabila berat badannya semakin bertambah.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 2:47 PM