Kenangan Ija (duduk depan) bersama arwah bapanya ketika mendaftar di UiTM kampus Jengka, Pahang.
Alias Abd Rani


AIR mata Siti Khadijah Ismail, 18, tiba-tiba bercucuran sebaik menerima berita bapanya meninggal dunia dua hari selepas mendaftar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus, Jengka, Pahang, Ahad lalu.

Semuanya berlaku sekelip mata apabila insan tersayang, Allahyarham Ismail Mat Nor dijemput mengadap Ilahi ketika mereka bersama-sama bergembira meraikan kejayaan anak ketiga daripada lima beradik itu yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian di universiti terbabit.

Siti Khadijah yang dikenali sebagai Ija, penuntut Diploma Sains seperti tidak percaya dengan berita diterima kerana pada hari pertama mendaftar di UiTM, bapanya antara individu paling bersemangat dan kelihatan ceria.

“Sepanjang berada di kampus, arwah paling gembira. Saya tahu abah tidak sihat kerana masalah buah pinggang.

“Selepas menghantar saya di sini (Jengka), abah bersama emak dan adik beradik lain pulang ke rumah di Rawang, Selangor.

“Keesokan hari, abah ke sebuah klinik untuk menjalani dialisis tetapi saya berasakan ada sesuatu tidak kena sebelum menghubungi emak,” katanya.

Menurutnya, arwah bapanya hanya sempat dialisis sejam sebelum ibunya membawanya ke Hospital Selayang.

“Selepas dimasukkan ke wad, doktor mengesan ada kuman di jantung membuatkan denyutan menjadi lemah. Kuman itu dari tiub yang dipasang pada leher sejak 2017 akibat penyakit dihidapinya.

“Arwah kemudian diberi antibiotik dan tekanan darah kembali normal, hinggalah malam 22 Julai lalu, doktor mahu membuat fistula (akses ke dalam saluran darah) namun tiba-tiba dia tidak sedarkan diri.

“Ketika itu, keluarga menunggu di katilnya manakala abah di bilik pembedahan. Abah tidak sedarkan diri dan doktor cuba memberi bantuan pernafasan namun disahkan meninggal dunia pada 3.18 pagi keesokan hari,” katanya.

Sebelum itu, Siti Khadijah memberitahu bapanya memesan kepada ahli keluarga supaya tidak menceritakan perkara itu kepadanya kerana bimbang pengajiannya terjejas.

“Hinggalah salah seorang kakak menghubungi saya memaklumkan abah sudah tiada. Saya tidak percaya kerana baru semalam (sehari selepas) dia menghantar saya,” katanya.

Siti Khadijah sempat berkongsi cerita sedih dalam Twitternya, hingga tular dan menerima sokongan ribuan netizen.

Perkongsian itu mendapat 15,300 ulang ciapan manakala 19,700 tanda suka selain ada yang memberi nasihat supaya dia tabah menghadapi ujian ini.

Katanya, ketika di kampus, arwah bapanya sempat memberi nasihat serta bergurau dengan adik beradik lain.

“Pada Sabtu malam, kami tidur di hotel, saya terdengar nafas abah lain macam. Saya nampak dadanya ke dalam apabila menarik nafas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 9:10 PM