LOKASI kejadian. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


SUAMI isteri dan seorang lelaki melecur hampir seluruh badan selepas mesin penjana hidraulik yang dalam pembaikan meletup di sebuah kilang di Batu 6, Jalan Seremban - Port Dickson, Port Dickson, semalam.

Seorang pekerja, M Ranjit, 56, berkata, kejadian 10.20 malam itu, dia bersama beberapa pekerja sedang berehat di dalam sebuah kabin di kilang berkenaan terkejut apabila terdengar jeritan api berulang kali daripada rakannya.

“Saya keluar dan tengok api sedang marak. Tiga rakan sekerja turut terbakar.

“Kami panik seketika sebelum mencapai alat pemadam api dan cuba membantu memadamkan api pada mangsa yang kelihatan melecur teruk,” katanya ketika ditemui di kilang terbabit, hari ini.

Katanya, dua daripada tiga mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) menggunakan kereta milik majikan, manakala seorang lagi dibawa ambulans ke Hospital Port Dickson (HPD).

“T Murugan, 44, dan isterinya, S Ralyan, 40, dibawa ke HTJS manakala seorang lagi mangsa lelaki, K Thiruselvam, 46, dibawa ke HPD.

“Saya difahamkan dua lelaki itu sedang membaiki penjana hidraulik yang rosak, manakala wanita itu duduk berdekatan lokasi mereka bekerja,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan 10.25 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, api sudah dipadam menggunakan dua alat pemadam api oleh pekerja yang tinggal di kilang itu.

“Difahamkan kebakaran dipercayai berpunca daripada api kecil dari mesin hidraulik yang menyambar sebuah tong silinder berdekatan yang mengandungi gas nitrogen, namun punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

“Ketika bomba sampai, hanya terdapat seorang mangsa di tempat kejadian kerana dua mangsa yang dipercayai suami isteri sudah dibawa ke hospital oleh majikan,” katanya ketika dihubungi.

Hairul Izam berkata, difahamkan Murugan melecur 95 peratus, manakala isterinya melecur 85 peratus dan seorang lagi mangsa melecur kira 70 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 12:59 PM