SAFIEY ILIAS ketika hadir di mahkamah. FOTO Eizairi Shamsudin
Nor Azura Abdul Jalil


USAHAWAN kosmetik, Safiey Ilias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan menyebabkan cedera parah terhadap seorang ‘Instafamous’ yang dikenali Baby Ara, tahun lalu.

Safiey atau nama sebenar Mohd Saifuddin Ilias, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tawfiq Affendy Chin.

Mengikut pertuduhan, Safiey didakwa menyebabkan cedera parah terhadap Farahnazikha Karab Hussain, 25, di sebuah restoran di Jalan Liew Wen Chee, AU2, Kuala Lumpur, pada jam 1.30 pagi, 15 Januari 2018.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh yang popular dengan lagu Syinta Gila didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya B Rajdeep Singh, manakala Safiey yang hadir ke mahkamah memakai blazer putih dan berseluar diwakili peguam Harjeet Singh Sindhu.

Terdahulu, Rajdeep menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Harjeet memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan kes.

Mahkamah kemudian membenarkan Safiey diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 1:45 PM