Redzuan Muharam


“NIAT saya mahu menarik minat murid mempelajari Bahasa Arab dan memastikan mereka sentiasa fokus ketika di dalam kelas, itu saja...,” kata Mohamad Syahmi Harun, guru Bahasa Arab Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah.

Mohamad Syahmi, 37, mengulas mengenai penggunaan gasing moden ‘Beyblade Burst’ yang menjadi pendekatannya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Beliau mula menggunakan Beyblade sebagai tarikan sewaktu sesi P&P sejak awal bulan ini dan idea itu tercetus selepas melihat kecenderungan murid membawa permainan itu ke sekolah meskipun mereka dilarang berbuat demikian.

“Sebelum ini, ramai murid dilihat membawa Beyblade ke sekolah untuk berlawan dengan sesama sendiri dan memandangkan ia adalah barang larangan, saya dan guru lain terpaksa merampasnya sebelum disimpan di bilik Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM).

“Menyedari minat mereka terhadap permainan itu, timbul idea memanfaatkan permainan berkenaan sebagai alat bantuan mengajar ketika sesi P&P di dalam kelas.

“Bagi membuatkan mereka lebih bersemangat, saya letakkan syarat antaranya tidak boleh membuat bising dan mengganggu rakan lain, fokus dan perlu menjawab soalan dengan betul ketika sesi soal jawab di dalam kelas sebelum dibenarkan bermain,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.


MURID teruja kerana dapat bermain beyblade di dalam kelas Bahasa Arab. FOTO ihsan Mohamad Syahmi Harun.

Mohamad Syahmi berkata, sejak pendekatan itu diperkenalkan, banyak perubahan positif dapat dilihat pada murid tahun satu, dua dan tiga di bawah bimbingannya.

Katanya, perubahan paling ketara adalah suasana di dalam kelas bertukar menjadi lebih terkawal berbanding sebelumnya.

“Kebiasaannya, saya akan adakan sesi soal jawab dalam bentuk kuiz bagi memilih empat murid sebagai pemenang .

“Mereka akan berlawan dengan satu sama lain dan hanya dua murid akan mara ke pusingan akhir untuk merebut gelaran juara.

“Tiada hadiah diberikan kepada mereka, sebaliknya inisiatif ini dilakukan sebagai galakan dan motivasi untuk mereka lebih berdaya saing serta aktif ketika di dalam kelas.

“Alhamdulillah, formula saya gunakan ini nampaknya menjadi, malah saya seronok melihat mereka berebut-rebut mengangkat tangan untuk menjawab soalan,” katanya.

Mohamad Syahmi berkata, sehingga kini, kaedah digunakannya itu mendapat sokongan daripada guru besar, Mohamad Fadzieli Samat dan pengurusan sekolah .

Beliau berkata, besar harapannya untuk melihat pendekatan diperkenalkannya itu memberi inspirasi kepada guru dalam mempelbagaikan kaedah ketika sesi P&P.

“Sebenarnya, ini bukan kali pertama saya mempelbagaikan kaedah P&P, sebaliknya pernah menggunakan dam dan kereta mainan Hot Wheels sebagai tarikan untuk murid tahap dua pada 2016.

“Seiring dengan trend semasa, saya beralih pula kepada Beyblade dan diharapkan pendekatan ini memudahkan murid untuk memahami selain membuang tanggapan mereka terhadap subjek Bahasa Arab yang sering dianggap sukar.

“Saya percaya, setiap guru mempunyai cara tersendiri yang boleh diketengahkan mengikut kreativiti masing-masing dalam usaha memperkasakan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) ,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Julai 2019 @ 9:45 PM
MURID perlu menjawab kuiz dengan betul sebelum dibenarkan bermain Beyblade. FOTO ihsan Mohamad Syahmi Harun.