PELINDUNG skrin retak. (Gambar kanan) Ibu jari Muhammad Azuan Iqbal yang cedera. FOTO IHSAN PEMBACA
PELINDUNG skrin retak. (Gambar kanan) Ibu jari Muhammad Azuan Iqbal yang cedera. FOTO IHSAN PEMBACA
Faliq Lajim


AKIBAT bermain permainan video di telefon pintar dalam keadaan pelindung skrin yang retak, seorang lelaki terpaksa dimasukkan ke hospital bagi membuang serpihan kaca dan isi yang dijangkiti.

Mangsa, Muhammad Azuan Iqbal Abdullah Sani, 23 berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas ibu jari kanannya bengkak selain beberapa kesan berwarna hitam sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, dia dimaklumkan doktor yang jarinya terkena jangkitan kuman selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Puncak Alam.

“Doktor kemudiannya memberi ubat tahan sakit serta antibiotik. Malah, saya turut dicucuk sebanyak lima kali di jari bagi membuang nanah.

“Namun, jari saya semakin teruk. Sabtu lalu, saya ke sebuah hospital swasta di Shah Alam dan doktor memaklumkan jari saya perlu dibedah.

“Alangkah terkejutnya apabila dimaklumkan kemungkinan jari saya akan dipotong sekiranya lambat mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia bersyukur jarinya semakin sembuh dan hanya perlu ke hospital untuk mencuci luka.

Dalam pada itu, Muhammad Azuan Iqbal berkata, dia sangat kerap bermain permainan video atas talian di telefon pintarnya sehingga lewat malam.

“Skrin pelindung di telefon pintar saya memang sudah retak sejak empat bulan lalu. Namun, saya tidak tukar dan masih terus menggunakannya.

“Memang salah saya sebab ambil mudah untuk menggantikan skrin itu dan berharap orang ramai segera menggantikan pelindung skrin sekiranya retak supaya tidak menjadi seperti saya,” katanya.

Terdahulu, saudaranya dikenali sebagai Irfan memuat naik status bersama dua keping foto menerusi Twitter mengenai Muhammad Azuan Iqbal yang dimasukkan hospital selepas cedera akibat serpihan kaca tertusuk ke jarinya.

Status itu kemudian mendapat lebih 11,000 ulang ciap, 3,950 tanda suka dan pelbagai reaksi daripada warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 9:03 PM