ZUL gemar bekerja dengan pelakon belum ada nama kerana mereka lebih bersungguh-sungguh.
Rudy Imran Shamsudin

MUTAKHIR ini ada pelakon lelaki popular dan berpengalaman mengeluh apabila digandingkan dengan heroin baharu.

Antara yang dibangkitkan ialah ramai pendatang baharu tidak berbakat, tak fokus sewaktu bekerja dan lakonan ibarat hobi untuk memenuhi masa terluang.

Aktor terkenal yang bakal muncul dengan filem Sangkar, Zul Ariffin juga tidak terkecuali berdepan senario itu.

Berkongsi pengalamannya, pemilik nama sebenar Zulkilfli Ariffin ini berkata, daripada pemerhatiannya ada pelakon baharu menceburi bidang seni untuk popular.

Katanya, apabila sudah ada ramai pengikut, mereka akan berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan mempromosikan produk.

“Bagi saya digandingkan dengan orang baharu tidak ada masalah sekiranya mereka bekerja dengan baik. Bagaimanapun, bukan kita selalu tahu apa yang kita persembahkan (lakonan) itu bagus atau tidak.

“Bergandingan dalam lakonan ibarat dua individu sedang menari dan andai tersalah langkah pasti pasangan nampak tidak bagus dan lebih teruk boleh jatuh tersungkur,” katanya.

Zul menegaskan dia lebih suka berlakon dengan pelakon tidak ada nama kerana mereka lebih bersungguh ketika menjayakan tanggungjawab yang diberi.

“Apabila masuk set penggambaran mereka bukan siapa-siapa. Mereka akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kehadiran disedari orang sekeliling.

“Bagi saya mereka berada di tempat yang betul kerana saya boleh bantu. Saya juga pernah berada di tempat mereka satu ketika dulu.

“Sebenarnya lakonan bagus datang daripada gandingan yang baik. Kalau persembahan kita berjaya mencuit hati penonton itu sudah cukup kerana inilah yang mereka mahukan. Selalunya penonton akan menyaksikan drama yang kita bintangi bersama keluarga jadi, corak persembahan pun tidak perlu keterlaluan dan berlebih-lebih,” katanya.

Menurut Zul lagi apabila stesen TV dan penerbit menawarkan watak utama untuk drama bersiri, ia akan mengambil masa yang panjang.


BERTARUNG dengan Remy dalam filem Sangkar.

“Sebagai bintang utama, kita akan habiskan masa panjang di lokasi. Jadi, gunalah peluang itu sebaik mungkin. Pelakon baharu sepatutnya manfaatkan ruang yang diberikan dan jadikannya berbaloi. Saya sudah lalui apa yang mereka rasa.

“Seperti yang saya nyatakan awal tadi, saya gembira kalau dapat berlakon dengan orang yang tidak dikenali. Ada segelintir pelakon yang mahu bekerja dengan pelakon terkenal kerana kerja akan jadi mudah.

“Sedangkan apa yang mereka lakukan kelak di set penggambaran tidak menjanjikan apa-apa. Asalnya nak kerja mudah sudahnya timbul masalah apabila tiada persefahaman. Kesan daripada itu, dia akan nampak seperti berlakon seorang diri walaupun ada gandingan di sebelah,” katanya.

Berkongsi tindakan yang akan diambil sekiranya pelakon baharu wanita bergandingan dengannya tidak ada kredibiliti sebagai heroin dan pada masa sama enggan berusaha memajukan diri, Zul berkata biasanya dia akan cuba kawal perasaannya dengan bermain telefon bimbit, melihat sosial media serta mencari pengisian yang lucu agar boleh menggembirakan hati set penggambaran.

“Itu saja yang dapat saya lakukan. Bagaimanapun, kalau baharu dan kurang pengalaman namun ada inisiatif untuk menjayakan watak, saya akan bantu dengan berkongsi pengalaman yang ada. Tambahan pula ini produk kami bersama dan mahu pastikan orang menonton jadi kenalah usaha bersama dan tidak boleh penting diri.

“Namun, kalau dari awal dia ada sikap negatif sampaikan saya nak tegur pun rasa serba salah, baik buat hal sendiri. Kalau ditegur nanti, bimbang saya dianggap ‘poyo’ atau diva pula. Orang seperti ini biasanya yang akan paling seronok kalau rating tinggi.

“Hakikatnya, bukan berapa banyak jumlah tontonan sahaja yang kita mahu tengok tetapi sejauh mana kita mampu bertahan dalam industri,” katanya.

Ditanya pernahkah dia diberikan senarai heroin dan menolak mana yang tidak berkenan di hati, Zul menegaskan perkara itu tak pernah berlaku dan dia tidak pernah membuat penilaian sebegitu.

“Kalau dengar pandangan orang tanpa pernah lihat sendiri pun bahaya. Buatnya orang itu puji melambung tetapi apabila di lokasi berbeza daripada apa yang diperkatakan, susah nanti. Lebih teruk jika tiada keserasian, pengsan saya nanti. Jujur, bukan semua pelakon baharu saya kenal.

“Selalunya kalau orang sebut tetapi saya tidak kenal, kenalah selidik dengan mencari maklumat di Instagram. Namun, payah juga kerana di Instagram cuma ada gambar dan bukan drama lakonannya. Saya pula jarang ada masa tengok TV dan menonton semua drama.


ZUL akan turut promosikan filem Sangkar dengan membuat kemunculan di beberapa pawagam terpilih di seluruh negara.

SUKA KERJA DENGAN REMY

Berbicara mengenai filem Sangkar yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air, Singapura dan Brunei pada 29 Ogos ini, Zul berkata ia gandingan keduanya dengan Remy Ishak.

Kali pertama menerusi filem Evolusi KL Drift 2 yang ketika itu Zul memegang watak tambahan.

“Pertama kali bekerja dengan Remy saya rasa sangat bangga. Maklumlah berada di sebelah pelakon terbaik tanah air. Saya rasa sangat kerdil ketika itu.

“Kami dipertemukan lagi dalam Sangkar. Saya suka bekerja dengan Remy dan harap filem ini dapat diterima ramai,” katanya.

Sudah tertulis jodoh dan rezeki apabila mereka ditemukan sekali lagi dalam Sangkar yang diarahkan sutradara terkenal Kabir Bhatia tetapi menariknya kali ini Zul bukan lagi pelakon tambahan sebaliknya tampil sebagai bintang utama.

Lebih daripada itu, Zul dan Remy juga akan bekerjasama mempromosikan Sangkar dengan membuat kemunculan di beberapa pawagam terpilih di seluruh negara.

Peminat boleh beramah mesra dengan barisan pelakon hebat filem ini bermula 30 Ogos hingga 15 September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 6:00 AM