Penumpang wanita (kiri) yang tidak membayar tambang sebanyak RM104 kepada Hamdan (gambar kecil). FOTO Ihsan Hani Hamdan
Redzuan Muharam


“NILAI itu mungkin tidak seberapa bagi orang lain, tetapi bukan bagi saya yang memerlukan duit berkenaan untuk membeli ubat.

“Sebab itu, saya sanggup menunggu lama dengan harapan dia datang kembali,” itu luah pemandu teksi, Hamdan Talib.

Hamdan, 58, memberikan reaksi itu bagi menjelaskan alasannya menunggu selama hampir empat jam demi mendapatkan bayaran tambang sebanyak RM104 daripada seorang penumpang wanita yang masih tidak berbayar.

Menceritakan perkara sebenar, Hamdan berkata, kejadian itu berlaku pada pagi Selalu lalu ketika dia baru memulakan tugas kira-kira 9 pagi.

Katanya, penumpang berkenaan menaiki teksi dipandunya dari sebuah stesen minyak di Rawang menuju Taman Serendah Makmur, Serendah.

“Kami tidak banyak bersembang sepanjang perjalanan cuma dia ada memaklumkan mahu ke rumah rakan.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi ketika hampir tiba di lokasi, dia memaklumkan beg duitnya tertinggal di stesen minyak.

“Dalam keadaan tergesa-gesa, penumpang itu beredar keluar dari kereta dan meminta saya menunggu sementara dia mengambil duit dari rakannya.

“Dia berjanji untuk datang semula tetapi tidak muncul menyebabkan saya menunggunya dari 9.30 pagi hingga 1 tengah hari,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurut Hamdan, penumpang berkenaan sepatutnya menjelaskan tambang sebanyak RM17 saja tetapi jumlah itu meningkat sehingga RM104 kerana dia tidak mematikan meter sepanjang menunggunya.

Katanya, bukan tidak mahu mencari penumpang berkenaan tetapi dia tidak larat berbuat demikian kerana mengalami sakit lutut dan tulang belakang.

“Jadi, saya hanya menunggunya di dalam kereta dan sesekali keluar menunggu di gerai berhampiran kawasan berkenaan.

“Bukan tidak mahu beredar cuma saya bimbang jika penumpang itu datang semula untuk membayar tambang tetapi sangkaan saya meleset.

“Ini bukan kejadian kali pertama saya ditipu penumpang dan memang berlaku kepada pemandu teksi lain.

“Saya rasa kecewa dipermainkan lagi kerana memerlukan wang itu untuk tujuan perubatan, selain menyara keluarga,” katanya yang bekerja sebagai pemandu teksi sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, anaknya, Hani Hamdan, 22, berkata, dia berkongsi pengalaman ayahnya dengan niat untuk memberitahu realiti dialami kebanyakan pemandu teksi.

Katanya, perkongsiannya itu juga bertujuan menepis tanggapan negatif segelintir individu terhadap pemandu teksi.

“Sejak kebelakangan ini, banyak persepsi negatif terhadap pemandu teksi sedangkan tidak semuanya begitu dan ramai sebenarnya dalam kalangan mereka yang menjadi mangsa penipuan penumpang.

“Sebagai anak, saya tentunya sedih dengan apa yang berlaku, namun banyak sokongan diterima sejak memuat naik kisah berkenaan di Twitter.

“Lebih 10 individu menghantar mesej kepada saya untuk menawarkan diri membayar tambang berkenaan tetapi ayah enggan menerimanya.

“Bukan niat saya untuk memburukkan sesiapa tetapi perkongsian itu diharap membuka mata banyak pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 10:00 PM