Siti A’isyah Sukaimi


PENUMPANG wanita putus pergelangan kaki kiri selepas bas ekspres dinaikinya terbabas ke dalam gaung berkedalaman tiga meter di Kilometer (KM) 0.6 Jalan Salak Tinggi-Nilai di Sepang, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata, mangsa berusia lingkungan 30-an yang juga isteri pemandu bas itu parah, dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.15 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bergegas ke lokasi serta tiba pada 6.26 pagi.

“Ketika tiba didapati sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas ke dalam gaung kedalaman tiga meter.

“Selain itu, terdapat tiga mangsa di dalam bas berkenaan iaitu seorang pemandu berusia 40-an yang mengalami cedera ringan, penumpang wanita terbabit (yang putus pergelangan kaki) dan seorang lagi penumpang lelaki berusia 23 tahun cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dua penumpang lelaki dihantar ke Klinik Kesihatan Salak Tinggi untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan memaklumkan, bas persiaran itu dari arah Terminal Bas Selatan (TBS) Bukit Jalil menghala ke Nilai, Negeri Sembilan.

“Pemandu bas itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar penghadang besi di kiri jalan serta terbabas ketika melalui selekoh di situ,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 10:51 AM
BAS ekspres yang terbabas dalam gaung di KM0.6 Jalan Salak Tinggi-Nilai dekat Sepang, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.