Redzuan Muharam


“SAYA reda dengan ketentuan Allah SWT dan tidak ralat kerana sempat menunaikan hajat terakhirnya untuk menjamah rambutan sebelum meninggal dunia,” itu luah Norsimah Mihad, 74,

Norsimah berkongsi kesedihan itu selepas anaknya, Mohamad Kamil Hashim, 54, meninggal dunia dipercayai akibat tercekik rambutan, kira-kira 4 petang semalam.

Bercerita lanjut, Norsimah berkata, Mohamad Kamil adalah anak ketiga daripada empat beradik dan dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) kategori lembam.

Menurut Norsimah, dia tidak menyedari apa yang berlaku kepada Mohamad Kamil sehingga keluar dari bilik selepas selesai menunaikan solat Zuhur.

“Petang semalam, arwah meminta saya memberinya makan rambutan berwarna kuning dan mulanya, saya agak keberatan membenarkannya menjamah buah berkenaan kerana bimbang dia tercekik.

“Namun, dia bersungguh dan bagi memenuhi keinginannya, saya memberinya makan dan berpesan untuk makan elok-elok sebelum masuk ke bilik untuk menunaikan solat.

“Selesai solat, saya keluar dari bilik dan terkejut apabila melihat dia dalam keadaan sesak nafas akibat tercekik buah itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Flat Taman Melati, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi mendapatkan bantuan, Norsimah menghubungi ambulans, namun Mohamad Kamil tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital.

“Sementara menunggu ambulans tiba, saya ada memeriksa mulutnya, tetapi tiada apa yang ditemui mungkin kerana buah berkenaan sudah tersekat di kerongkong.

“Kakitangan perubatan juga tidak dapat membantu selepas mendapati jantungnya tidak lagi berfungsi beberapa minit selepas mereka tiba di rumah,” katanya.

Menurut Norsimah, Mohamad Kamil pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (OKU) bagi mendapatkan rawatan selepas paru-parunya dijangkiti kuman sebelum dibenarkan pulang ke rumah, tiga minggu lalu.

Norsimah berkata, sejak pulang ke rumah, keadaan Mohamad Kamil stabil cuma tidak kuat berjalan kerana lututnya lemah.

“Arwah tidak menunjukkan perubahan sehingga semalam apabila dia bersikap aneh, enggan mandi pada waktu pagi seperti selalu.

“Bila disuruh , arwah mengatakan mahu mandi pada sebelah petang. Rupa-rupanya, itu petanda arwah mahu jenazahnya dimandikan.

“Memang sedih kerana hubungan kami berdua amat rapat, terutama selepas suami, Hashim Akim meninggal dunia pada 2007 namun saya reda kerana sudah sampai ajalnya,” katanya.

Jenazah Mohamad Kamil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak selepas solat Maghrib, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Ogos 2019 @ 9:00 PM
NORSIMAH menunjukkan gambar arwah anaknya, Mohamad Kamil yang maut selepas tercekik rambutan. FOTO Mahzir Mat Isa