STUART Ramalingam
Syazwan Msar


KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) naik angin berikutan kenyataan media kontroversi Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) bertajuk ‘Bala RM6.4 juta’ hingga mahu menilai semula kerjasama antara kedua-dua pihak.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, kenyataan PFAM terbabit jelas membelakangkan usaha proaktif yang dilakukan badan induk bola sepak itu untuk membantu pemain yang mempunyai masalah tunggakan gaji.

Beliau berkata, kenyataan itu tidak menjelaskan mengenai keadaan sebenar isu tunggakan gaji bagi sesetengah pasukan yang dinyatakan oleh PFAM.

“Mengenai tuduhan terhadap Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), rekod FAM mendapati bahawa PBNS tiada sebarang kes sama ada dengan FAM ataupun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pula tidak mempunyai sebarang kes dengan FAM berhubung tunggakan gaji pemain, cuma hanya satu kes yang dibawa ke FIFA, namun pembayaran tunggakan gaji itu sudah pun diselesaikan. Jika ada pun kes tunggakan gaji lain membabitkan PBNP, ia mungkin sama ada tidak dilaporkan atau masih belum diputuskan keputusannya oleh FAM atau FIFA,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Arena Metro semalam melaporkan, sekurang-kurangnya 12 pasukan Liga Malaysia yang masih wujud atau sudah berkubur masih gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain berjumlah RM6.4 juta meskipun separuh daripada wang hak penyiaran liga itu diagihkan kepada semua pasukan pada 15 Julai lalu.

Antara pasukan yang masih gagal melunaskan tanggungjawab itu adalah naib juara Liga Super musim ini iaitu Pahang, Melaka United dan FELDA United, manakala PDRM yang bakal beraksi di Liga Super musim depan mengetuai senarai pasukan dari Liga Perdana bersama Kelantan dan Negeri Sembilan.

Sebuah lagi pasukan beruniform iaitu ATM yang beraksi di Liga M3 turut gagal menyelesaikan tunggakan gaji sementara penutupan lima pasukan Perlis, Terengganu City FC (TCFC), Hanelang, Kuantan FA dan Marcerra United tiada jalan penyelesaian.

Berhubung kes membabitkan pasukan yang sudah ditutup seperti Marcerra United FC, Kuantan FA, Hanelang FC dan juga Terengganu City FC, Stuart berkata, FAM sudah mengadakan perjumpaan bersama pemain termasuk bertemu PFAM untuk mencari penyelesaikan kepada masalah tunggakan gaji mereka.

“Bagi Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), hanya tiga kes tunggakan gaji masih belum selesai dan menanti keputusan iaitu membabitkan G Puaneswaran serta dua kes FIFA iaitu Tiago Gomes dan Lee Chang-hoon. Sementara satu lagi kes FIFA membabitkan Omid Nazari sudah pun mencapai persetujuan pembayarannya.

“Persatuan Bolasepak PDRM pula memaklumkan kepada FAM, mereka sudah membayar tunggakan gaji pemain bagi 2018 pada Februari lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:30 AM