Mohd Amin Jalil


SEREMBAN: Kerajaan negeri menghormati permintaan keluarga remaja warga Ireland yang hilang dari bilik penginapan mereka sejak pagi Ahad lalu untuk tidak bertemu dengan mana-mana pihak ketika ini.

Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, dalam situasi ini pihaknya memahami keadaan keluarga yang mengalami tekanan emosi.

“Saya cuba menyantuni keluarga remaja perempuan itu, tetapi mereka tidak mahu jumpa sesiapa sekarang.

“Kami menghormati keputusan itu dan sewajarnya juga diberi ruang untuk mereka bertenang sementara polis dan semua pihak giat mencari remaja terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Nora Anne Quoirin, 15, dilaporkan hilang dari rumah penginapan ketika bercuti dengan ahli keluarganya di Resort The Dusun Pantai Hill di sini, Ahad lalu.

Remaja itu disedari hilang jam 8 pagi selepas didapati tiada di biliknya oleh keluarganya.

Susulan kejadian, seorang wanita menerusi akaun Twitter Aisling Agnew memuat naik hantaran mendakwa anak saudaranya yang bercuti di negara ini menghilangkan diri ketika keluarganya sedang tidur.

Perkara itu tular dan turut dilaporkan BBC News.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:50 AM
    LOKASI penginapan Nora dilaporkan hilang di sebuah resort, di Kampung Pantai, Negeri Sembilan.