REMAJA 18 tahun bersama teman lelakinya yang ditahan semalam. - Agensi
REMAJA 18 tahun bersama teman lelakinya yang ditahan semalam. - Agensi
Agensi

BANGKOK: Bimbang ditinggalkan teman lelaki baru, seorang remaja perempuan di Nonthaburi bertindak kejam apabila memasukkan cecair pencuci longkang ke dalam mulut bayi baru dilahirkannya sebelum memasukkan mangsa ke dalam beg sampah dan mencampaknya ke dalam tong sampah dari balkoni tingkat tiga.

Rakaman kamera litar tertutup kejadian pada 23 Julai lalu di sebuah flat di Nonthaburi itu menunjukkan bungkusan berisi bayi malang itu jatuh ke atas timbunan sampah selepas dilempar remaja berusia 18 tahun dikenali sebagai Aom.

Bungkusan plastik itu dilihat mengenai pinggir tong sebelum jatuh ke atas timbunan sampah.

Daily Mail yang memetik media tempatan melaporkan, bayi perempuan itu ditemui penduduk dan dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia beberapa hari kemudian akibat kecederaan dalaman yang teruk.

Remaja itu dan teman lelakinya dikenali sebagai Jay, 23, yang melarikan diri ditahan polis di sebuah hotel murah berdekatan, Selasa lalu dan dibawa ke tempat kejadian untuk melakonkan semula perbuatannya.

Menurut polis, remaja itu yang mendakwa tidak tahu dia hamil, tiba-tiba berasa sakit di bahagian bawah perut sebelum melahirkan bayi perempuan di dalam tandas.

Bayi berkenaan bukan hasil hubungan dengan teman lelakinya sekarang.

“Saya panik dan tidak mahu teman lelaki tahu mengenai bayi ini. Saya curahkan pembersih longkang ke seluruh muka bayi dan ke dalam mulutnya sebelum mencampaknya ke bawah,” kata Aom.

Teman lelaki suspek menafikan pembabitannya dalam kejadian itu turut ditahan polis untuk siasatan.

Kolonel Polis Pongjak Preechakarunpong berkata, mereka dapat mengesan ibu bayi berkenaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan darah yang ditemui dalam bilik mandi berpadanan dengan DNA remaja terbabit.

“Malangnya bayi perempuan itu mati dan suspek kini menghadapi tuduhan lebih serius, daripada cubaan membunuh kepada pembunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:30 AM