SARINA bersama dua anaknya, Nor Zahidah (kiri) dan Nor Nadiah terpaksa bermalam di lobi HoSHAS bagi menjaga suaminya, Jamaluddin.
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


TEMERLOH: Jika diikutkan, pastinya tiada ibu yang sanggup membiarkan dua anak perempuan tidur hanya beralaskan kotak dan berbantalkan lengan di lobi hospital dalam keadaan tidak selesa dan sempurna.

Namun, itu keputusan yang terpaksa diambil Sarina Endut, 40, kerana dia perlu menjaga suaminya, Jamaluddin Uyub, 59, yang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) akibat penyakit kanser usus sejak 24 Julai lalu.

Pada masa sama, dia juga tidak mampu untuk menyewa mana-mana bilik mahupun berulang-alik dari rumahnya di Pulau Tawar, Jerantut yang jaraknya kira-kira 70 kilometer (km).

Selama tempoh dua minggu itulah Sarina terpaksa ‘turun naik’ dari wad di tingkat lapan ke lobi hospital bagi menjaga keperluan suaminya dan juga memantau keadaan dua anaknya, Nor Zahidah Jamaluddin, 8, dan Nor Nadiah Jamaluddin, 6.

Malah, dia juga terpaksa berhenti kerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah di Jerantut kerana tidak mampu untuk memberi komitmen terhadap kerjanya.

“Siapa yang tidak risau memikirkan keadaan dua anak yang ditinggalkan di lobi hospital, mereka juga tidak biasa di sini...tetapi suami juga memerlukan bantuan saya untuk menguruskan dirinya.

“Saya terpaksa turun naik dari wad ke lobi untuk melihat anak-anak, memang penat namun sekurang-kurangnya saya dapat melihat mereka di depan mata,” katanya, semalam.

Katanya, selepas beberapa hari ‘menginap’ di lobi hospital, ada beberapa individu yang bersimpati dengan keadaan tiga beranak itu memberikan selimut kepada mereka.


GAMBAR Sarina bersama anak-anak di lobi HoSHAS.

Katanya, suaminya disahkan menghidap penyakit itu sejak beberapa bulan lalu dan sering berulang-alik ke hospital untuk menerima rawatan.

Difahamkan, Jamaluddin akan dipindahkan ke Hospital Selayang, Selangor dalam minggu ini untuk menerima rawatan lanjut.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank (0714 0138 4525 27) atas nama Jamaluddin Uyub.

Kisah Sarina mula menjadi perhatian selepas dimuat naik oleh seorang pengguna di laman Facebook sejak beberapa hari lalu dan tular serta mendapat pelbagai reaksi warganet.

Katanya, dia terharu dengan keprihatinan yang diterima selepas kisahnya tular sehingga mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah.

“Pihak HoSHAS juga ada menawarkan sebuah bilik di Anjung Kasih untuk keselesaan saya dan anak-anak, saya amat terharu.

“Terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu dan menghulurkan sumbangan kepada kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 5:40 AM