LAPORAN protal berita Harian Metro
LAPORAN protal berita Harian Metro
Mohd Hafizee Mohd Arop


POLIS sudah menerima laporan kimia dan perubatan bagi kes rogol pembantu rumah membabitkan EXCO kerajaan negeri ini dan akan menghantar kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri, hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya sudah menerima kedua-dua laporan itu, kelmarin dan akan menghantar kertas siasatan untuk tindakan seterusnya.

“Laporan kimia dan laporan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital sudah diperoleh dan kertas siasatan akan dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk keputusan.

“Saya percaya Pengarah Pendakwaan Negeri akan menghantar ke peringkat Putrajaya (Jabatan Peguam Negara) untuk tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Harian Metro 9 Julai lalu melaporkan, EXCO negeri, Paul Yong Choo Kiong disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumah warga Indonesia selepas mangsa membuat laporan mendakwa dirogol di rumah majikannya di Meru.

Paul kemudiannya ditahan untuk siasatan kes mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan.

Difahamkan, terdapat satu status dimuat naik seorang pemilik akaun Facebook (FB) kemudiannya mendakwa kononnya laporan forensik kes hilang sebelum polis menafikan laporan berkenaan.

Sementara itu, Razarudin ketika ditanya perkembangan kes samun barang kemas RM1 juta di Jalan Chin Hwa, kelmarin, berkata polis sedang membuat perancangan mengenal pasti semua suspek.

Katanya, setakat ini kes masih dalam siasatan dan polis yakin dapat mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes itu dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 11:02 AM