Siti A'isyah Sukaimi


PENGENALAN tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah Tahun Empat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mulai tahun 2020 diteruskan seperti dirancang dengan mengambil kira beberapa langkah penyesuaian berkaitan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, perkara berkenaan diputuskan menerusi mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Katanya, mesyuarat berkenaan meneliti semua pandangan termasuk yang dibangkitkan di media massa sejak minggu lalu mengenai isu berkenaan.

“Jemaah Menteri dalam keputusannya memaklumkan, pengenalan tulisan khat ini akan dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks.

“Di samping itu, Jemaah Menteri juga menetapkan pengenalan tulisan khat ini dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberikan kuasa untuk membuat keputusan mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Jemaah Menteri juga secara sepakat bersetuju supaya pengenalan tulisan khat ini tidak akan dinilai dalam ujian atau peperiksaan.

“Kementerian Pendidikan berharap melalui keputusan yang dibuat oleh mesyuarat Jemaah Menteri ini, isu pengenalan tulisan khat tidak lagi dibangkitkan secara tidak tepat sehingga menimbulkan kekeliruan ramai.

“Justeru, Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak demi kebaikan dan manfaat sistem pendidikan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Maszlee menjelaskan, pengenalan seni khat sebagai sebahagian daripada aktiviti dalam mata pelajaran itu bertujuan memperkenalkan kepada murid mengenai warisan Bahasa Melayu dan negara.

“Kita tahu tulisan jawi bukan asing dalam Bahasa Melayu dan negara malah, kita akan memperkenalkan mereka dengan perkara yang dekat dengan diri.

“Misalnya, Jata Negara, wang kertas dan pengisytiharan merdeka yang menggunakan tulisan Jawi. Ini bukan suatu yang baharu atau (bertujuan) Arabisasi atau Islamisasi tetapi memperkenalkan anak kepada warisan negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 3:49 PM
Sebahagian hasil tulisan Khat yang dihasilkan oleh Muhammad Anis Ab Ghani, 40, semasa ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau, Pulau Pinang. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal