SHAFFIQUE (kanan) mencari penunggang motosikal yang membantunya selepas kemalangan serta pemandu lori yang melanggarnya.
Redzuan Muharam


“SAYA mahu bertemu dengannya untuk mengucapkan terima kasih kerana membantu saya selepas kemalangan. Tanpa bantuannya, boleh jadi saya sudah meninggal dunia akibat serangan panik dan asma ketika itu,” demikian harapan Shaffique Ahmad.

Shaffique, 41, yang juga bapa kepada dua anak terbabit dalam kemalangan pada 23 Julai lalu selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lori di Kilometer (KM) 458 Lebuhraya Utara-Selatan berhadapan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Selangor.

Shaffique berkata, kemalangan berlaku pada 7.20 pagi ketika dia dalam perjalanan dari rumahnya di Damansara Damai menuju ke sebuah majlis di hotel di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Berikutan kemalangan itu, Shaffique patah lima tulang rusuk kiri dan tulang selangka, namun nasib tidak menyebelahinya apabila pemandu lori berkenaan melarikan diri.

“Saya bertolak dari rumah pada 7 pagi dan terbabit kemalangan selepas motosikal saya dihimpit lori dari laluan sebelah kanan.

“Seingat saya, pemandu berkenaan memberhentikan lori pada jarak 150 meter di hadapan tempat kemalangan, tetapi berlalu pergi tidak lama selepas itu.

“Mujurlah, ada anggota polis, dua petugas kereta peronda PLUS dan seorang penunggang motosikal membantu menenangkan saya sebelum dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans.

“Tanpa mereka, boleh jadi saya sudah tiada pada waktu ini kerana mengalami sesak nafas dan serangan panik ketika itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Shaffique berkata, beliau sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Damansara pada 26 Julai dan 8 Ogos lalu, namun tidak dapat menuntut faedah insuran kerana tiada butiran terperinci mengenai pemandu lori terbabit.

Berikutan itu, beliau memuat naik ciapan di Twitter dengan harapan warganet dapat membantunya menjejaki penunggang motosikal yang membantunya, begitu juga pemandu lori yang melarikan diri.

“Kemalangan itu menyebabkan saya dimasukkan ke hospital selama lima hari dan diberi cuti sebulan, namun perlu menjalani pemeriksaan susulan pada 27 Ogos depan.

“Masalahnya, saya tidak dapat menuntut faedah insurans kerana pemandu lori berkenaan melarikan diri dan usaha menjejakinya sukar kerana insiden itu tidak dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

“Atas nasihat polis, saya memuat naik ciapan di Twitter dengan harapan orang ramai atau saksi kejadian tampil memberi maklumat,” katanya yang bertugas sebagai penjawat awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penunggang motosikal terbabit serta pemandu lori boleh menghubungi Shaffique di talian 019-2885051.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 10:00 PM