KAWASAN kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng.
KAWASAN kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KUANTAN: Sekurang-kurangnya lima kawasan sudah dikenal pasti untuk menjadi tapak fasiliti pelupusan kekal (PDF) baru bagi memindahkan sisa buangan Water Leached Purification (WLP) di negeri ini.

Sumber memaklumkan lima kawasan itu terletak di kawasan bekas lombong emas dan bijih besi masing-masing di Lepar, Luit, Padang Tengku, Bukit Ibam dan Chini.

Katanya, semua kawasan sudah dikenal pasti dan dikaji mengenai impak kepada penduduk, alam sekitar serta kesan sosial sebelum dimuktamadkan.

“Kawasan ini menjadi potensi tinggi untuk dipilih sebagai lokasi PDF baharu memandangkan ia kawasan bekas lombong yang tidak lagi dibangunkan dengan apa-apa projek perindustrian atau pembangunan.

“Ia dalam peringkat kajian dan jika sesuai maka akan dimuktamadkan kelak,” katanya.

Mengikut perjanjian, Lynas (Malaysia) Sdn Bhd perlu membersihkan sisa buangan yang ada sebelum September depan seperti ditetapkan kerajaan sebagai syarat pembaharuan lesen operasi.

Jika gagal, syarikat nadir bumi itu perlu menghentikan sementara operasi pengeluaran sisa buangan hingga mereka mempunyai kawasan PDF memindahkan sisa buangan WLP.

Harian Metro sebelum ini melaporkan gesaan Pengerusi Jawatankuasa Kaukus Parlimen Pantau Lynas (JKPPL) Wong Tack yang menyarankan kerajaan perlu lebih tegas meminta Lynas menghantar sisa buangan nadir bumi di Gebeng, Pahang ke Australia.

Katanya, tindakan itu perlu memandangkan syarat hantar semula sisa WLP sudah termaktub dalam perjanjian ditandatangani pada 2012.

Pengarah Urusan dan Naib Presiden Lynas Datuk Mashal Ahmad pula berkata, pihaknya bersama pemegang taruh lain bersedia mematuhi sebarang syarat ditetapkan kerajaan termasuk berkaitan PDF baharu yang diperlukan.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh menyifatkan tindakan kerajaan terdahulu membenarkan kilang Lynas beroperasi di negara ini adalah kerana diperdaya dan ditipu kerana menyangkakan ia satu industri yang strategik.

Fuziah dilaporkan berkata, sejak Lynas mula beroperasi pada 2012, lebih satu juta tan metrik sisa terjadual dan 500,000 tan metrik WLP disimpan di Gebeng yang bukan struktur penyimpanan kekal.

Sementara itu, difahamkan satu kumpulan pakar terdiri daripada penyelidik universiti serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia terbabit dalam melakukan kajian mengenai lima kawasan berkenaan secara lebih terperinci sebelum hasil kajian dibentangkan kepada Lynas, kerajaan negeri serta Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar.

Bacaan radiasi tak tunjuk peningkatan

Kuantan: “Saya sendiri antara orang yang menentang kehadiran Lynas dari sebelum kilang itu dibina kerana saya adalah penduduk paling hampir dengan kilang terbabit.

“Namun, apabila melihat bacaan radiasi di kawasan itu tidak menunjukkan peningkatan dan implikasi negatif kepada alam sekitar sejak ia mula beroperasi tujuh tahun lalu, saya terfikir mungkin selama ini saya tersilap menilai,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Andansura Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri ceramah perdana dan solat hajat anjuran Lynas dengan kerjasama Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 yang dihadiri ribuan jemaah, kelmarin.

Katanya, sudah tiba masanya semua pihak menamatkan kekeliruan yang sudah berlarutan sejak sekian lama sehingga menimbulkan pelbagai polemik.

Menurutnya, sejak Lynas (Malaysia) Sdn Bhd mula beroperasi pada 2012, pakar dalam pelbagai bidang termasuk sains, kesihatan dan alam sekitar secara konsisten menyatakan kilang berkenaan beroperasi dengan baik dan mematuhi undang-undang.

Andansura berkata, beliau menyatakan kerisauan dan penentangannya terhadap Lynas sebelum ini adalah berpandukan kejadian pencemaran radioaktif di Bukit Merah, Perak dan pastinya tidak mahu mendedahkan penduduk di bandar ini terhadap risiko yang sama.

“Selepas kilang berkenaan dibenarkan beroperasi, khabar angin dan kerisauan itu nyata meleset sama sekali. Saya berpendapat kita sudah membuat persepsi yang salah selama ini.

“Justeru, saya berharap mereka yang menentang akan sama-sama buangkan ego atau kepentingan politik kerana Lynas sama seperti kilang lain di Gebeng, tiada yang berbeza,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 6:00 AM