BUNGKUSAN kotak dengan tulisan 'Jangan Campak, Ada Bom Di Dalam’ dikatakan tiba di Miri pada jam 7.23 malam menggunakan kargo kapal terbang dari Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM
Garret Dawum


PEKERJA kargo di Lapangan Terbang Miri, Miri, gempar dengan penemuan kotak misteri didakwa mengandungi bom, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.20 malam daripada polis lapangan terbang berhubung penemuan berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota dari Unit Bom Cawangan Persenjataan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kemudian dikejarkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik tiba, pihak kami ditunjukkan bungkusan kotak dengan tulisan ‘Jangan Campak, Ada Bom Di Dalam’.

“Kotak itu diletupkan demi keselamatan namun pemeriksaan mendapati ia mengandungi alat ganti motosikal sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Lim, siasatan awal mendapati kotak berkenaan dijumpai 7.30 malam oleh pekerja kargo.

“Kotak berkenaan dikatakan tiba di Miri pada 7.23 malam menggunakan kargo kapal terbang dari Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Polis menyeru orang ramai supaya jangan menulis perkataan berunsur ugutan terutama pada bungkusan yang dihantar melalui penerbangan.

“Syarikat penerbangan juga perlu meningkatkan tahap pemeriksaan keselamatan terhadap semua bungkusan yang dihantar melalui perkhidmatan kargo udara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Ogos 2019 @ 2:57 PM