Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KEPUTUSAN kerajaan memperkenalkan tulisan khat dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu tahun empat di sekolah vernakular mendapat reaksi pelbagai pihak.

Isu ini menjadi hangat apabila ada kumpulan yang menentang cadangan itu meskipun pelaksanaannya sudah ditetapkan tahun hadapan.

Ramai yang ‘melatah’ kerana keliru perbezaan antara tulisan Jawi dan khat. Hakikatnya, kurikulum baru itu dilihat mampu memberikan impak positif dalam melahirkan modal insan yang seimbang untuk pembangunan negara.

Apa masalah dengan pengenalan pembelajaran khat di tahun empat sekolah vernakular sedangkan pelajarannya sudah diperkenalkan sejak 2015 sebagai sebahagian daripada kurikulum sekolah?

Pada pendapat saya, tiada sebarang masalah dengan pengenalan pembelajaran khat itu di sekolah vernakular.

Ini kerana pelaksanaannya sudah dirangka dan dirancang lebih awal pada 2014 manakala pembelajarannya hanya membabitkan enam muka surat daripada 164.

Dakwaan mengatakan pengenalan tulisan ini sebagai isu besar adalah tidak benar.

Ini kerana tulisan khat adalah satu cabang seni dalam penulisan bahasa Melayu dan bukannya mempelajari tulisan Jawi. Perbezaan ini perlu difahami secara jelas bagi mengelak kekeliruan.

Dari segi pelaksanaannya, tulisan khat untuk murid tahun empat adalah pada 2020, tahun lima (2021) dan tahun enam (2022). Ini bermakna murid yang sama mempelajari serta meneruskan kurikulum itu.

Oleh itu, bantahan yang dikemukakan pihak tertentu itu tidak adil bagi keseluruhan rakyat Malaysia.

Punca pihak tertentu ‘melatah’ tanpa mengambil kira latar belakang pengenalan pembelajaran khat?

Bagi saya, mereka yang ‘melatah’ itu seperti mahu mengambil kesempatan dan ‘memanaskan’ lagi keadaan.

Tetapi saya ingin memberi penjelasan, penemuan batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu pada 1330 membuktikan bahasa Melayu sebenarnya sudah digunakan sejak sekian lama.

Pada zaman dahulu, sebelum kedatangan Islam ke alam Melayu, agama dianuti penduduk ketika itu adalah Hindu-Buddha manakala tulisan digunakan, Palava dan Kawi.

Tulisan ini hanya dipelajari golongan atasan. Bagaimanapun, kedatangan Islam membawa perubahan besar yang mana semua orang boleh mempelajari ilmu dan tulisan Jawi.

Jika diimbas kembali zaman datuk dan nenek kita, berapa ramai yang boleh menulis tulisan Palava dan Kawi?

Namun, mereka menguasai tulisan Jawi dengan baik dan boleh menulis hingga ke hari ini.

Bahkan kaum lain terutama yang menetap di Kelantan, Terengganu dan Kedah turut berkebolehan menulis tulisan Jawi.

Perkara seperti ini perlu diberi perhatian. Saya berpendapat, tulisan khat perlu dirakyatkan (diterima) supaya lebih ramai kaum lain di negara ini boleh menerima tulisan khat.

Adakah bantahan ini dipengaruhi sentimen perkauman?

Saya tidak menafikan bantahan ini memang ada sedikit sebanyak dipengaruhi sentimen perkauman dan permainan politik.

Jika rakyat Malaysia mahu menikmati sistem pendidikan dengan baik tanpa masalah, mereka perlu melihat peluang yang disediakan kerajaan sejak dahulu hingga kini.

Saya ingin bertanya kepada pihak berkenaan, mana negara di dunia yang mempunyai sekolah vernakular? Di Malaysia saja yang memiliki sistem ini.

Tiada siapa yang membantah kewujudan sekolah vernakular di negara ini. Ini kerana perlembagaan ada menyebut bahawa semua bahasa yang terdapat di Malaysia boleh dipertuturkan oleh rakyat tanpa sebarangan halangan.

Apabila kita kaitkan dengan tulisan khat, ia adalah seni warisan bangsa Malaysia. Bukan bangsa Melayu.

Bagaimana mahu mengubah polemik ini supaya tidak menjadi masalah yang boleh menggugat perpaduan negara?

Memang tidak dinafikan, isu tulisan khat semakin mendapat perhatian ramai dan perkara paling penting adalah kita perlu menghargai perbezaan di antara kaum.

Sebagai masyarakat majmuk, kita kurang menghargai perbezaan itu, sebaliknya menjadikan isu berkenaan sebagai punca untuk berbalah. Pemimpin politik kita boleh duduk semeja berbincang mengenai masa hadapan negara. Tetapi dalam hal-hal tertentu, kerana perbezaan ini, kita seperti mahu mengambil hak orang lain. Tindakan ini bagi saya, tidak sesuai.

Adakah kerajaan terlewat memperkenalkan kurikulum ini?

Terus terang saya kata ia memang agak sedikit terlewat, tetapi masih belum terlambat.

Apabila sudah ada perancangan pelaksanaan ini, maka kerajaan harus memberi perhatian kepada aspek kemudahan kelengkapan pembelajaran seperti buku dan tenaga pengajar.

Begitu juga aspek pengisian kurikulum ini, ia perlu diberikan tumpuan dengan meningkatkannya kepada tahap yang lebih baik.

Kita tidak boleh menggunakan bahan sedia ada. Bahan ini perlu dihasilkan mengikut penggredan tertentu supaya sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

Apabila kita mahu memperkenalkan tulisan Jawi kepada golongan yang tidak biasa dengan tulisan ini, maka mekanisme terbaik perlu ada bagi memastikan kurikulum ini benar-benar menarik.

Pada peringkat awal pelaksanaan adalah dengan memperkenalkan pengenalan tulisan Jawi sebelum diluaskan ke tahap lebih tinggi.

Selain itu, kerajaan perlu memiliki pakar tulisan khat yang walaupun tidak mempunyai latar belakang pendidikan tinggi tetapi boleh diambil sebagai tenaga pengajar.


DR Samsur Rijal Yahaya

Korea, Jepun dan China menetapkan setiap rakyat wajib lulus bahasa serta tulisan warisan sebelum memasuki universiti di negara masing-masing. Adakah Malaysia ke arah itu?

Oleh kerana perancangan ini baru mula pada 2014, kita tidak boleh meletakkan harapan ini terlalu tinggi.

Ini kerana perkara paling penting ialah menyediakan kemudahan pembelajaran penulisan khat yang lengkap.

Latih tenaga pengajar bersama dengan pakar tulisan khat, menyediakan bahan-bahan pengajaran mencukupi dan mengadakan program seperti pertandingan, kempen serta mengantarabangsakan tulisan ini. Saya mahu mengambil contoh, peniaga bukan Bumiputera di negara ini mahu menjual dan mempamerkan produk mereka.

Mereka perlu menggunakan tulisan Jawi pada bungkusan produk mereka, tetapi tulisan itu bukan saja ada kesilapan, malah kurang menarik.

Oleh itu, sekiranya mereka mempelajari tulisan khat, sudah tentu tiada masalah untuk mempraktikkannya dalam perniagaan di samping boleh menarik orang Melayu membeli produk berkenaan.

Di Korea dan Jepun, mereka sudah mengaplikasikan ‘coding’ sejak sekian lama dan tidak berhadapan sebarang masalah.

Bahasa Hangul (bahasa Korea) adalah tulisan yang saintifik dengan seseorang itu boleh menulis tulisan ini dalam tempoh 30 minit.

Untuk berada pada tahap itu, Malaysia perlukan perancangan teliti dan rakyat tidak boleh mudah melatah dengan apa saja perancangan baru kerajaan kerana ia sebenarnya membawa kebaikan secara holistik.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya Dr Samsur Rijal Yahaya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:50 AM