AINUL MARDHIAH. FOTO Ihsan IG Nurul Erwani
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha tahun ini lebih bermakna walaupun beraya di hospital. Namun apa paling penting, kami bersyukur Ainul (Mardhiah) diberi kesihatan (yang baik). Alhamdulillah,” luah Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24.

Bapa kepada Ainul Mardhiah itu berkata, dia dan isteri Nurul Erwani Zaidi, 24, menyambut Aidiladha di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kuala Lumpur, kerana anak sulung mereka masih memerlukan pemantauan rapi pasukan perubatan selepas tiba dari London, 28 Julai lalu.

Pada 10 Jun lalu, bayi berkenaan yang dilahirkan pada 13 Ogos 2018, selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram dikenali ‘Germ Cell Tumor’ selepas bertarung nyawa lima jam di sebuah hospital kanak-kanak di London.

Ditanya mengenai persiapan ulang tahun kelahiran pertama anaknya pada Selasa ini, Ahmad Safiuddin berkata, dia dan isteri kini sedang merancang untuk mengadakan sambutan sederhana.

“Sambutan hari lahir Ainul sedang dibuat. Insya-Allah sambutan pun kecil-kecilan saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Bayi comel itu kini masih memerlukan pemantauan lanjut doktor tempatan, namun perkongsian menerusi Instagram (IG) Nurul Erwani, Ainul menunjukkan perkembangan positif dan aktif berbanding sebelum menjalani pembedahan.

Pembedahan yang dijalankan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai Ketua Unit Craniofacial hospital itu, Prof David Dunaway dan Dr Juling Ong membabitkan perbelanjaan mencecah RM1 juta.

Pelatih pakar bedah, Dr Nur Amalina Che Bakri juga antara individu penting di sebalik kejayaan pembedahan itu kerana berusaha mendapatkan bantuan kenalannya dalam kalangan pakar perubatan di UK bagi mencari cara terbaik merawat penyakit bayi itu.

  • Lagi berita berkaitan Ainul Mardhiah
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 2:19 PM