MOHD Rozhan menenangkan anaknya, Qistina Ayu Rozhan yang bersedih kehilangan suami. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


“JIKA benar berlaku pergaduhan, tidak perlu hingga meragut nyawa” kata Mohd Rohzan Ramlee, 57, bapa mentua Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29.

Syed Muhammad Danial meninggal dunia selepas dilanggar kereta dipandu seorang lelaki di KM293.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran susur keluar Bangi, semalam.

Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, Syed Muhammad Danial disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Nilai Medical Centre.

Mohd Rozhan Ramlee berkata, dia dimaklumkan berita mengenai kejadian menimpa menantunya itu melalui anak bongsu, Zafri Amir, 19, selepas dimaklumkan oleh rakannya yang kebetulan lalu di lokasi kejadian kira-kira 2 petang, semalam.

“Sebaik menerima berita itu, saya bersama anak bergegas dari rumah di Bukit Mahkota ke lokasi untuk melihat keadaan menantu.

“Zafri yang tiba dulu di lokasi kemudian membawa abang iparnya ke klinik kesihatan berhampiran menaiki kereta orang awam sebelum dibawa ke Nilai Medical Centre selepas mendapati klinik berkenaan tutup,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, hari ini.

Mohd Rozhan berkata, dia yang tiba bersama isteri mangsa, Qistina Ayu Rozhan, 28, di lokasi lima minit kemudian mendapati bahagian belakang kereta dipandu menantunya itu kemek.

“Jika dilihat pada kerosakan kereta menantu, tidak ada kerosakan ketara dan saya beranggapan dia mungkin hanya cedera ringan.

“Namun, sebaik tiba di Nilai Medical Centre, menantu disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala dan dalaman.

“Saya amat terkejut dengan perkhabaran itu kerana tidak menyangka dia meninggal dunia dalam kejadian itu tanpa menyedari apa yang benar-benar berlaku kepadanya,” katanya.

Katanya, dia mengakui ahli keluarga menerima pelbagai spekulasi berkaitan kejadian menimpa menantunya itu berikutan penyebaran status serta video yang dimuat naik di media sosial sejak semalam.

“Saya ada dengar pelbagai versi mengenai kejadian itu. Namun, kita sendiri tidak mengetahui apa yang berlaku. Jika benar seperti yang dikata (pergaduhan), tidak perlu sehingga meragut nyawa.

“Sebagai bapa mentuanya, menantu seorang yang baik dan hormat pada orang tua. Saya sama sekali tidak menyangka kejadian ini menyebabkan cucu saya kehilangan bapa dalam sekelip mata.

“Menantu seorang anak yang taat kerana setiap hujung minggu dia akan membawa isteri dan anaknya ke rumah ibunya di Shah Alam.

“Jika diikutkan perancangan, mereka sekeluarga mahu menyambut Aidiladha di rumah ibunya ,” katanya yang berazam untuk membesarkan cucunya.

Zafri Amir ketika menceritakan semula kejadian itu berkata, abang iparnya ditemui dalam keadaan separuh sedar di tepi laluan berkenaan.

“Saya kemudian bergegas membawanya menaiki kereta orang awam yang berada di lokasi untuk ke klinik berhampiran.

“Apa yang saya lihat pada abang ipar ketika itu adalah kesan lebam di kepala serta perutnya.

“Sepanjang perjalanan ke klinik berhampiran, dia dalam keadaan separuh sedar.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di Nilai Medical Centre, dia sudah tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Unit Kecemasan.

“Pihak doktor yang merawatnya kemudian memaklumkan dia sudah meninggal dunia ketika sedang dirawat,” katanya.

Sementara itu, isteri mangsa dilihat menangis teresak-esak sambil mendukung anak tunggal mereka, Syarifah Dian Syed Muhammad Danial berusia empat bulan ketika menunggu proses laporan bedah siasat.

Usaha wartawan untuk mendapatkan komen mengenai kejadian menimpa suaminya yang bekerja sebagai pengurus bank gagal apabila dia tidak mahu ditemu bual dan minta diberi ruang.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota, Bangi selepas proses bedah siasat yang bermula jam 10 pagi selesai kira-kira 3 petang tadi.

Berita berkaitan

Provokasi jadi punca... [METROTV]

Kenapa la tak bincang elok-elok...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 4:08 PM