SAZARINA menjahit tanjak Merdeka bagi kanak-kanak sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019. FOTO ihsan pembaca
Iskandar Shah Mohamed


“SELAIN mahu menyemai rasa cintakan negara dan semangat patriotik kepada si cilik, ia dianggap sebagai sumbangan kecil saya untuk menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan,” kata Sazarina Jamaluddin, 33.

Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, guru agama Sekolah KAFA Integrasi Ar-Rahman, Kampung Serigala, Hulu Selangor itu menyediakan busana dan tanjak khas Merdeka bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Uniknya, set lengkap pakaian bagi lelaki dan perempuan itu keseluruhannya menggunakan kain bermotifkan Jalur Gemilang yang direka dan dijahit sendiri ibu kepada tiga anak berkenaan sejak tahun lalu.

Sazarina berkata, idea itu tercetus selepas anak sulungnya, Muhammad Rayqal Muhammad Zulqarnain, 7, bertanya mengenai ‘baju merdeka’ yang mahu dipakainya pada hari kemerdekaan negara.

“Saya kemudian turut mendapatkan pandangan rakan dan tidak menyangka ia menerima sambutan baik sehingga menerima tempahan 40 helai set busana termasuk tanjak tahun lalu.

“Alhamdulillah, bagi tahun ini, permintaan daripada pelanggan semakin meningkat iaitu tempahan sebanyak 200 tanjak dan 100 set busana merdeka.


TANJAK dan busana khas Merdeka yang disediakan Sazarina. FOTO ihsan pembaca

“Selain menjual pakaian khas tahunan itu sebagai pendapatan sampingan, saya teruja melihat kanak-kanak memakai tanjak kerana mereka bersemangat dan segak seperti pendekar Melayu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang menetap di Kalumpang, Hulu Selangor, dia gemar menjahit pakaian bayi dan kanak-kanak yang dijadikan sebagai hobi mengisi masa lapangnya selepas pulang mengajar sejak 2017.

“Saya kemudian cuba menjualnya kepada rakan dan tidak menyangka ia mendapat maklum balas positif lalu meneruskan jualan menerusi atas talian serta butik vendor di Tanjung Malim, Perak.

“Berbekalkan hasil pembelajaran menerusi Internet secara berperingkat, saya kini mahir menjahit pakaian termasuk tanjak yang turut diajar beberapa individu sebelum ini,” katanya yang dikenali menerusi jenama Momazing Store di Facebook (FB) dan Momazing Baby Tailor (Instagram).

Kata Sazarina, dia amat terharu dengan sambutan positif pelanggan mengenai jahitan pakaiannya yang sekali gus membuktikan semangat kenegaraan dalam kalangan masyarakat masih tinggi termasuk kanak-kanak.

“Sebelum ini, seorang pelanggan dari Negeri Sembilan turut sanggup datang ke rumah saya untuk terus mengambil baju merdeka kerana anaknya sangat teruja untuk memakainya.

“Pada waktu itu, saya menganggap usaha selama ini berbaloi kerana turut diberi ruang dan peluang untuk berbakti kepada negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 6:00 AM