MOHAMMAD Ashraf bersama isteri dan anak. FOTO ihsan keluarga
MOHAMMAD Ashraf bersama isteri dan anak. FOTO ihsan keluarga
Mohd Hafizee Mohd Arop


KEHILANGAN Juruteknologi Makmal, Klinik Kesihatan Muar, Johor, Mohammad Ashraf Hassan, 29, ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail di Gopeng pada 23 Mac lalu sehingga kini masih menjadi tanda tanya.

Mohammad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap disedari hilang oleh rakannya sebaik tamat perlumbaan itu sebelum usaha pencarian dijalankan penganjur di sekitar kawasan trek perlumbaan.

Usaha pencarian dilakukan penganjur bagaimanapun menemui jalan buntu dan laporan polis dibuat rakannya di Balai Polis Gopeng pada jam 1.09 pagi, keesokannya sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

SAR dijalankan membabitkan pelbagai aset termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan pasukan keselamatan lain termasuk bantuan penduduk kampung.

Keseluruhan kawasan trek dan berdekatan sudah dimasuki pasukan SAR namun usaha itu terus menemui jalan buntu menyebabkan operasi terpaksa dihentikan pada 17 April lalu.

Pada 21 April lalu, berita penemuan tulang manusia di Gua Kandu, Gopeng, amat mengejutkan namun ia disahkan bukan tulang Acap selepas Ujian Deoksirinobukleik (DNA) mendapati ia tidak sepadan ahli keluarganya.

Walaupun operasi SAR sudah dihentikan namun ahli keluarganya tidak akan berhenti untuk berikhtiar mencarinya dan berharap Acap akan ditemui walau dalam apa juga keadaannya sekalipun.

Usaha mencari masih dijalankan abangnya Mohd Zahiruddin, 35, setiap minggu bersama pasukannya di lokasi berkenaan kerana tidak sanggup melihat ibu mereka, Siti Maznah Khamis, 58, bersedih merindui anak kesayangannya.

MOHAMMAD Ashraf disedari hilang oleh rakan selepas tidak menamatkan larian Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu. FOTO ihsan keluarga
MOHAMMAD Ashraf disedari hilang oleh rakan selepas tidak menamatkan larian Gopeng Ultra Trail pada 23 Mac lalu. FOTO ihsan keluarga

Lebih menyedihkan apabila melihat isterinya, Hamizah Mohd Ali, 27, dan anaknya Aisyah berusia setahun merindui suami serta ayah yang dipanggilnya daddy selepas hampir lima bulan hilang.

Kerinduan keluarga ini kepada Acap lebih terasa pada Aidilfitri lalu disebabkan Acap adalah antara yang paling rajin membuat persiapan raya dengan mengemas serta membersihkan rumah.

Kini, tiba pula Aidiladha, sudah pasti kerinduan keluarga ini lebih terasa apabila Acap masih hilang tanpa berita dan sudah pasti tiada kemeriahan sambutan dirasai keluarga ini.

Mohd Zahiruddin ketika dihubungi Harian Metro berkongsi rasa kesedihan ditanggung dia sekeluarga dan secara peribadi dia yakin Acap masih ada namun tidak tahu lokasi serta keadaannya.

Katanya, sambutan Aidiladha kali ini tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini dan mereka sekeluarga tidak membuat sebarang persiapan sebaliknya menyambutnya dalam keadaan ala kadar.

“Raya puasa lalu juga kami sambut ala kadar saja kerana setiap apa yang kami lakukan akan teringatkan kepada Acap, dia yang paling rajin setiap kali menyambut raya dan akan membantu mengemas serta membersihkan rumah.

“Dia hilang tanpa tanda, kesedihan kami hanya Allah yang tahu, saya tidak sanggup melihat emak, isteri Acap serta anaknya bersedih mengingatinya, disebabkan itu saya masih terus mencari seminggu sekali,” katanya.

Ditanya perkembangan terkini pencarian adiknya, Mohammad Zahiruddin berkata, sehingga kini masih belum ada sebarang perkembangan atau petunjuk namun dia tetap tidak berputus asa.

Katanya, dia bersama pasukannya akan turun ke lokasi pencarian selepas Aidiladha bagi melakukan pencarian dan ia akan diteruskan selagi mampu bagi mencari petunjuk kehilangan adiknya.

LAPORAN Harian Metro 29 Mac lalu.
LAPORAN Harian Metro 29 Mac lalu.

Pendaki, keluarga masih mencari

Pasukan penyelamat sudah menggerakkan semua aset dalam usaha mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29, atau lebih dikenali sebagai Acap namun usaha itu masih menemui jalan buntu.

Diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pelbagai agensi penyelamat, usaha mencari Acap sudah dihentikan selepas tidak menemui sebarang petunjuk.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Mohd Yunus Abu berkata, bomba kini hanya bersedia di balai dan akan bertindak pada bila-bila masa untuk menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi hanya akan digerakkan sekiranya menerima maklumat terbaru yang membolehkan pencarian dijalankan semula dan bomba bersedia menggerakkan segala aset dimiliki.

“Apa yang dimaklumkan masih ada kumpulan-kumpulan kecil dari pendaki termasuk ahli keluarganya yang mencari dan pihak kita menasihatkan supaya mereka mementingkan aspek keselamatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Pintu Padang, Gopeng yang sebelum ini turut mengikuti operasi SAR, Yusfanizal Yusri, 29, berkata, penduduk sudah sedaya upaya melakukan pencarian namun masih belum menemui apa-apa petunjuk.

Menurutnya, dia ingin membetulkan kenyataan orang ramai sebelum ini kononnya penduduk mengarahkan orang luar berhenti mencari dan menyerahkan tugasan mencari kepada penduduk kampung.

“Kami tidak pernah mengatakan serah kepada kami untuk mencari dan kami akan menjumpainya, cuma apa yang kami mahu adalah orang luar tidak melakukan kerja-kerja khurafat di kawasan ini.

“Banyak bomoh dan pawang yang datang dan melakukan pelbagai amalan ritual yang bertentangan dengan ajaran Islam, itu sebenarnya yang kami tidak mahu, bukannya kami berjanji yang akan jumpa mangsa sekiranya orang luar keluar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 6:15 AM