TUN Dr Siti Hasmah Mohamad Ali (kiri) menyuap kuih donat kepada Adam ketika Majlis Korban Masjid ArRahman Kampung Kedawang, Langkawi. FOTO AMZAH OSMAN
Hamzah Osman


PENGUNJUNG cilik, Adam Mustaqim Abd Rahman teruja disuap sepotong kuih donat oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ketika Majlis Korban Masjid ArRahman Kampung Kedawang, Langkawi, hari ini.

Adam Mustaqim, 10, yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Kedawang mengaku pada mulanya gementar selepas melihat isteri Perdana Menteri memanggilnya dengan cara menggamit supaya ke meja utama.

“Saya dan empat rakan sedang berjalan melintasi khemah tetamu, tiba-tiba nampak dia (Siti Hasmah) senyum dan menggamit supaya datang ke mejanya.

“Takut juga tapi selepas berada di sisinya, rasa bertuah pula apabila dia potong donat dengan garpu dan terus meminta saya membuka mulut sebelum menyuapkan donat,” katanya ketika ditemui.

Anak sulung daripada dua beradik ini berkata, sebelum ini dia hanya mengenali isteri Perdana Menteri menerusi televisyen.

“Memang seronok sangat kerana bukan saja dapat berbual, malah dia (Siti Hasmah) suap donat yang sedap.

“Saya akan ingat sampai bila-bila, rasa macam nenek saya yang suap,” katanya yang bercita-cita menjadi anggota polis apabila dewasa kelak.

Terdahulu, Siti Hasmah mengiringi suami, Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri majlis korban di masjid itu yang dihadiri kira-kira 300 penduduk tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 3:33 PM