Mangsa maut selepas diserang lima lelaki bertopeng. FOTO Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin


NENEK maut manakala cucu lelakinya parah selepas diserang lima lelaki bertopeng dengan parang di rumah mereka di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, mangsa, P Runkanaikey, 78, meninggal dunia di lokasi akibat parah kepala, telinga kanan, tangan dan lutut kiri.

Cucu mangsa, N Silamparasan, 22, parah lengan tangan kiri, paha dan betis kiri serta tapak kaki kanan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan pecah pada pintu masuk rumah itu dipercayai dilakukan kumpulan suspek berkenaan.

Beliau berkata, kejadian itu disedari jiran mangsa yang memaklumkan kepada polis selepas melihat sesuatu mencurigakan di rumah itu.

“Kejadian berlaku apabila Silamparasan mendengar kehadiran individu di hadapan rumah lalu cuba mengejutkan neneknya yang tidur dalam bilik.

“Namun belum sempat mengejutkan wanita itu, suspek berjaya memecah pintu masuk rumah dan Silamparasan terus bersembunyi di bawah katil,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Polis menjalankan siasatan di rumah mangsa yang maut ditetak. FOTO Ihsan PDRM

Chee Khoon berkata, suspek kemudiannya menetak Silamparasan dan neneknya dengan parang.

“Silamparasan yang pada mula menyorok bawah katil melihat neneknya ditetak cuba melarikan diri turut ditetak suspek,” katanya.

Beliau berkata, mayat warga emas itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat dan Silamparasan turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, ketika kejadian kedua-dua mangsa tinggal di rumah itu.

“Dompet, rantai emas, wang tunai serta kenderaan empat roda (4WD) jenis Ford Ranger tidak dilarikan suspek,” katanya.

Beliau berkata, lima suspek melarikan diri menggunakan Toyota Vios.

Menurut Chee Khoon, pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 4:45 PM