FOTO hiasan
FOTO hiasan
Fardy Bungga


SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun maut selepas dilanggar bapa saudaranya di Kampung Long Danau, Silabukan, Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang, bapa saudara mangsa berusia 37 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Land Cruiser difahamkan ke rumah keluarga mangsa sempena Aidiladha.

Bagaimanapun, ketika pulang bapa saudaranya dikatakan secara tidak sengaja terlanggar mangsa yang keluar dari rumah tanpa pengawasan ahli keluarga lain.

Ketua Polis Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansur berkata, siasatan awal mendapati, pemandu kenderaan menyedari terlanggar sesuatu sebelum keluar untuk memeriksa bahagian hadapan kenderaannya.

Katanya, lelaki terbabit terkejut apabila melihat mangsa terbaring di sebelah kiri tayar hadapan dengan kesan kecederaan serius.

“Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu oleh ahli keluarganya namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Pihak hospital mengesahkan punca kematian disebabkan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:02 PM