Zuliaty Zulkiffli


SEORANG lelaki berusia 26 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kebakaran permaidani di dua masjid sekitar daerah ini, hari ini.

Permaidani di dalam ruang solat Masjid Kampung Rambai dan Masjid Pendang dikatakan disedari terbakar sekitar jam 5 pagi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki itu ditahan jam 12 tengah hari di daerah ini kira-kira tujuh jam selepas kejadian.

Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengenai kejadian berkenaan.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi, Imam Masjid Kampung Rambai, Ismail Yahaya, 33, membuat laporan polis selepas dimaklumkan jemaah masjid bahawa permaidani di masjid didapati terbakar.

“Pengadu kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu memadam kebakaran.

“Pengadu kemudian datang ke balai polis untuk membuat laporan bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Arriz Sham berkata, selain itu pihaknya turut menerima laporan daripada jemaah Masjid Pendang yang memaklumkan melihat permaidani di pintu tepi masjid terbakar jam 5.15 pagi dan menghubungi bomba untuk memadam kebakaran.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, kebakaran di Masjid Pendang dipadamkan bomba terlebih dahulu manakala kebakaran di Masjid Kampung Rambai dipadam kariah masjid.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat kesan bakar pada permaidani di pintu hadapan Masjid Kampung Rambai dan kesan bakar pada permaidani di pintu tepi Masjid Pendang.

“Pemeriksaan mendapati terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di Masjid Pendang namun tidak berfungsi manakala Masjid Kampung Rambai pula tidak mempunyai CCTV,” katanya.

Menurut Arriz Sham, ada seorang saksi menyedari dua lelaki menaiki motosikal memasuki kawasan masjid tetapi tidak dapat mengecam individu terbabit kerana melihat kejadian dari jarak jauh.

Beliau berkata, pihak forensik turut dimaklumkan untuk menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 5:45 PM
PEGAWAI Forensik Bomba melakukan pemeriksaan dalam salah sebuah masjid yang cuba dibakar. FOTO IHSAN JBPM