Skip this ad x
Naza Citra milik ibu Mohamad Alif rosak teruk selepas dihempap struktur bangunan akibat ribut Jumaat malam. FOTO Ihsan Mohamad Alif Mohamad Faazillah
Redzuan Muharam


“MEMANG sedih lihat kereta dalam keadaan seperti itu namun saya bersyukur kerana tiada di dalam ketika kejadian,” luah Mohamad Alif Mohamad Faazillah, 24.

Mohamad Alif memberi reaksi mengenai insiden kereta model Naza Citra milik ibunya, Che Nor Azizah Hassan, 52, penyek selepas dihempap struktur bangunan berikutan ribut di Bandar Bayan Baru, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Jumaat malam.

Mohamad Alif berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di Kota Bharu, Kelantan atas urusan kerja dan tahu mengenainya selepas dihubungi rakan serumah pada pagi hari berikutnya.

“Kereta itu diparkir di hadapan bangunan kedai dan kawasan itu sudah menjadi tempat kebiasaan saya meletak kenderaan sejak mula menyewa di pangsapuri berhampiran lebih tiga bulan lalu.

“Saya terpaksa meletak kereta di situ kerana ruang parkir di dalam kawasan pangsapuri diduduki terhad dan selama ini, tiada kejadian buruk berlaku sehingga malam berkenaan.

“Namun nasib tidak menyebelahi saya apabila insiden itu berlaku ketika saya berada di luar kawasan dan hanya dapat melihat kesan kerosakan daripada gambar yang dihantar rakan serumah menerusi kiriman Whatsapp,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Alif yang juga anak kedua daripada enam beradik berkata, dia sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Bayan Baru, Pulau Pinang dan pengurusan kediaman kelmarin.

Bagaimanapun, usahanya untuk menuntut pampasan daripada insurans gagal kerana pakej perlindungan (insurans) diambil tidak merangkumi kerosakan akibat bencana alam.

“Selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pagi kelmarin, saya terus menaiki Grab ke tempat kejadian dan hampir terduduk serta hilang kata-kata selepas melihat kereta dalam keadaan ‘total lost’ (musnah).

“Mujurlah tiada barangan berharga di dalamnya cuma rasa sedih kerana tidak dapat menuntut insurans dan berharap pemaju bangunan itu mempertimbangkan memberi pampasan sebagai ganti rugi.

“Untuk sementara waktu, saya tiada pilihan kecuali menggunakan Grab ke tempat kerja,” katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Kelmarin, Mohamad Alif berkongsi nasib menimpanya menerusi ciapan ‘Im Speechless (Hilang kata-kata) Dugaan buatku ‘berserta gambar di Twitter miliknya.

Perkongsian itu mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya memberi kata semangat dan mendoakan Mohamad Alif tabah mengharungi ujian berkenaan.

Setakat 4.30 petang hari ini, ciapan itu mendapat lebih 6,000 tanda suka dan 8,000 ulang ciap oleh warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 9:00 PM