JANNA berdepan cabaran besar jayakan Teater Malayu-Pawana Isabella
Ramlah Zainal

SEMUA pelakon memasang impian untuk beraksi di pentas teater sekali gus mengembangkan cabang seni sedia ada. Bagi pelakon popular, Janna Nick, dia menerima tawaran beraksi dalam pementasan Teater Malayu-Pawana Isabella kerana mahu bekerjasama dengan pengarah terkenal, Erma Fatima.

“Saya memang sudah lama pasang impian untuk bekerjasama dengan Kak Erma dan akhirnya ia kesampaian menerusi teater ini.

“Selain tertarik dengan naskhahnya yang menarik, saya juga terima tawaran Kak Erma kerana pementasan ini menampilkan barisan pelakon hebat dan nama besar dalam dunia lakonan,” katanya.

Janna ditemui pada sidang media pementasan Teater Malayu-Pawana Isabella yang berlangsung di Istana Budaya, baru-baru ini.

Ia kali kedua Janna berlakon dalam pementasan teater selepas pementasan Teater Zombi La La sebelum ini.

Namun, kata Janna, dia berdepan cabaran besar untuk merealisasikan teater berkenaan.

“Saya ditawarkan Kak Erma berlakon dalam teater ini sejak awal tahun lalu. Saya hanya dapat skrip teater ini pada hari pertama sesi latihan.

“Saya juga perlu menguasai dialog dalam bahasa Melayu klasik kerana ia bangsawan moden.

“Terus terang, ia satu cabaran besar kerana saya perlu menyanyi, menari dan bersilat untuk menjiwai watak utama Permaisuri Isabella.

“Saya mula rasa tekanan kerana perlu menjayakan babak menari selepas lima hari sesi latihan.

“Jika saya gagal menjiwai watak Permaisuri Isabella seperti dikehendaki skrip, teater ini juga akan gagal,” katanya.

Bagaimanapun, Janna berkata dia meminta sedikit kelonggaran daripada Erma untuk menjayakan babak menari dalam pementasan itu.

“Namun, Kak Erma tetap mahu mencabar saya menjayakan babak menari itu. Buat masa ini, saya giat berlatih menari dan bersilat dengan guru tarian serta guru silat yang disediakan produksi Istana Budaya,” katanya.

BERGANDINGAN DENGAN SYAFIQ KYLE

Pementasan Teater Pawana Isabella menyaksikan gandingan Janna dengan pelakon popular, Syafiq Kyle. Menurut Janna, dia tiada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan Syafiq dalam pementasan itu.

“Walaupun ia gandingan julung kali di pentas teater, kami pernah bekerjasama dalam drama bersiri Bukan Cinta Aku sebelum ini.

“Kami berdua profesional ketika bekerja dan masing-masing sangat komited,” katanya.

Bagaimanapun, kata Janna, dia menitikberatkan rehat yang cukup sehingga menjelang hari pementasan nanti.

“Saya hanya fokus pada teater ini selama sebulan dan tidak mengambil tawaran lain. Saya juga banyak menerima tawaran berlakon drama baharu tetapi mahu fokus bisnes produk kecantikan yang semakin berkembang ketika ini,” katanya.

Teater Malayu-Pawana Isabella bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 21 Ogos hingga 31 Ogos nanti. Teater arahan Erma Fatima itu turut menampilkan membariskan ramai bintang hebat antaranya Azar Azmi, Johan Raja Lawak, Ozlynn Waty, Datuk Afdlin Shauki, Datin Paduka Umie Aida, Datuk Ziela Jalil, Shahronizam, Jay Iswazir dan Anas Ridzuan.

Tiket boleh dibeli di kaunter Box-Office Istana Budaya dengan harga RM48 hingga RM188.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 5:15 AM