Raja Noraina Raja Rahim


KELUARGA mengesahkan mayat wanita ditemui di kawasan hutan di Pantai, Seremban, tengah hari ini, adalah Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pengesahan itu diperoleh selepas keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Keluarga dibawa untuk pengecaman mayat dan mereka mengesahkan mayat itu adalah Nora Anne.

“Proses bedah siasat akan dijalankan oleh Senior Patologi dari Hospital Kuala Lumpur pada 10 pagi esok,” katanya pada sidang media di Unit Forensik HTJS, malam ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang masih diteruskan sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

“Operasi SAR tidak berhenti lagi untuk kita jalankan siasatan lanjut. Kita tunggu keputusan bedah siasat,” katanya.

Terdahulu, ahli keluarga remaja itu dilihat hadir di Unit Forensik HTJS untuk membuat proses pengecaman, pada 8.40 malam.

Mayat Nora Anne ditemui di Gunung Berembun berhampiran sebuah resort di Pantai, Seremban, 1.57 petang hari ini.

Mayat berkenaan ditemui sekumpulan pendaki yang turut menyertai operasi SAR berkenaan.

Mayat ditemui di kawasan lurah kira-kira 2.5 kilometer dari resort tempat remaja itu menginap. Ketika ditemui, mayat tidak berpakaian berhampiran anak sungai.

Kawasan mayat berkenaan ditemui termasuk dalam liputan kawasan pencarian pasukan SAR sebelum ini.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.

Remaja orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 9:25 PM
    AHLI keluarga kepada Nora Anne tiba di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman