VIDEO muzik lagu baharu Floor 88 berjudul Hutang cecah lebih 4 juta tontonan.
Ardini Sophia Sina


SELEPAS tiga tahun menyulam karier muzik, lagu yang dihasilkan kumpulan Floor 88 selalu saja berjaya menarik perhatian umum.

Hingga ke hari ini, video muzik yang dimuat naik di YouTube pasti meraih jutaan tontonan dan mendapat maklum balas positif daripada pendengar.

Dianggotai Ayie Elham selaku penyanyi, Achoi (gitar utama), Falique (bass), Eric (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua), Floor 88 baru saja tampil dengan lagu baharu berjudul Hutang.

Dalam masa dua minggu, video muzik berkenaan sudah mencecah lebih empat juta tontonan dan ‘trending’ di tempat ketiga.

Menyuntik eleman muzik 1960-an dan kuda kepang, ia adalah identiti Floor 88 yang akan dikekalkan selama-lamanya.

Menurut Eric, mereka sangat bersyukur dan terharu dengan sokongan peminat terhadap karya yang dihasilkan. Kata-kata positif yang diberikan membuatkan mereka bersemangat menghasilkan lebih banyak karya berkualiti.

“Sejak awal kemunculan, kami memang suntik elemen muzik tradisional dalam lagu. Cuma kali ini, kami lari daripada mesej cinta seperti beberapa lagu sebelum ini.

“Mungkin lagu ini diterima baik kerana dekat dengan semua orang iaitu mengenai hutang. Semua orang pasti melalui perkara ini. Lirik juga berbentuk sindiran. Sebab itu ramai yang cakap mahu tujukan lagu berkenaan kepada individu yang tak bayar hutang.

“Bagaimanapun, terima kasih atas sokongan yang tidak berkesudahan. Kami sangat menghargainya dan sentiasa cuba tampil dengan lagu berkualiti dan menepati selera pendengar,” katanya.

Melihat kepada sambutan peminat, ia satu cabaran besar buat mereka untuk menghasilkan lagu seterusnya dengan lebih baik dan susunan muzik yang berbeza bagi menunjukkan kematangan Floor 88.


KETIKA penggambaran muzik video Hutang.

PEMINAT TERTANYA-TANYA

Pada babak akhir video muzik Hutang, diselitkan beberapa rangkap lagu balada. Ia mengundang pertanyaan dalam kalangan peminat sekali gus membuat jangkaan ia adalah lagu seterusnya yang bakal dilancarkan.

Ada juga yang mencadangkan Floor 88 merakamkan lagu itu dan menjadikannya sebahagian daripada senarai lagu yang mereka nyanyikan.

Mereka mengaku ada sedikit rasa gusar apabila menyanyikan lagu balada kerana Floor 88 dikenali dengan muzik rancak.

Mereka bimbang ada segelintir peminat yang tidak dapat menerima Floor 88 menyanyikan lagu melankolik.

Achoi yang juga penulis lirik lagu Floor 88 berkata, mereka sendiri tidak pasti sama ada akan tampil dengan lagu balada dalam masa terdekat atau memberikan lagu itu kepada penyanyi lain.

“Kami perasan ada peminat tertanya-tanya mengenai lagu babak akhir itu dan mereka minta kami keluar dengan lagu itu. Bagaimanapun, kami sendiri tidak tahu sama ada akan hasilkan lagu balada atau tidak.

“Bagaimanapun, semua bergantung kepada pihak pengurusan. Kalau dinasihatkan dan disarankan untuk tampil dengan lagu balada, kami akan cuba. Tapi, tidak tahu lagu yang mana akan kami nyanyikan. Mungkin lagu itu atau lagu lain.

“Kami harap, apabila tiba masa kami keluarkan lagu balada peminat akan tetap memberikan sokongan padu serta menambat penggemar muzik lain,” katanya.

Ayie berkata, mereka mengekalkan Achoi sebagai penulis lirik dan penggubah lagu kerana belum bertemu karya yang sesuai dengan identiti mereka daripada komposer lain.

Bagaimanapun, Floor88 terbuka dan sentiasa mengalu-alukan karya daripada mana-mana komposer lain. Mereka juga ingin cuba menyanyikan hasil ciptaan penggubah lain.

“Bukannya tidak pernah mencuba. Kami pernah dapat lagu yang menarik, tetapi tak sesuai dengan Florr 88 dan ia bukan identiti kami. Jadi, setakat ini Achoi yang hasilkan lagu kami.

“Namun, bukanlah bermaksud kami tidak terima karya penggubah luar. Kami sentiasa alu-alukan dan jika ada rezeki, kami juga ingin cuba menyanyikan hasil ciptaan komposer lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 5:30 AM