MAYAT yang ditemui di lokasi pencarian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban, semalam. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim dan Hasbi Sidek


KELUARGA mengesahkan mayat wanita yang ditemui di kawasan hutan di Pantai, tengah hari semalam adalah Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak 4 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pengesahan itu diperoleh selepas keluarga membuat pengecaman mayat di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Keluarga dibawa untuk pengecaman mayat dan mereka mengesahkan mayat itu adalah Nora Anne.

“Proses bedah siasat akan dijalankan oleh Patologi Kanan dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 10 pagi esok (hari ini),” katanya pada sidang media di Unit Forensik HTJS di sini, malam tadi.

Bagaimanapun Mohamad berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi mangsa dilaporkan hilang masih diteruskan sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.

“Operasi SAR tidak berhenti lagi untuk kita jalankan siasatan lanjut. Kita tunggu keputusan bedah siasat (sahkan mayat Nora),” katanya.


HELIKOPTER digunakan untuk membawa mayat dipercayai Nora Anne. FOTO Bernama

Terdahulu, ahli keluarga remaja itu dilihat hadir di Unit Forensik HTJS untuk membuat proses pengecaman mayat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, mayat berkenaan ditemui pada 1.57 tengah hari oleh sekumpulan pendaki yang turut menyertai operasi dan menyelamat (SAR) berkenaan.

“Mayat tanpa pakaian itu ditemui berhampiran anak sungai di kawasan lurah kira-kira 2 kilometer dari resort tempat remaja itu dan keluarga menginap.

“Sebaik kumpulan pendaki berkenaan melaporkan penemuan kepada polis, unit forensik dihantar ke lokasi bersama pasukan patologi dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ),” katanya pada sidang di sini, semalam.

Mazlan berkata, kawasan mayat ditemui termasuk dalam liputan kawasan pencarian pasukan SAR sebelum ini.

“Mayat dibawa ke HTJ menggunakan helikopter memandangkan kawasan adalah lurah sedalam kira-kira 1.2 kilometer,” katanya.

Ditanya mengenai sebarang kecederaan pada mayat, Mazlan berkata, pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat terlebih dahulu.


AHLI keluarga Nora Anne tiba di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk membuat pengecaman mayat, semalam. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Semalam adalah hari ke-10 operasi SAR Nora Anne sejak gadis itu dilaporkan hilang daripada sebuah resort di Pantai, Seremban pada 4 Ogos lalu.

Nasib remaja itu terus menimbulkan tanda tanya bukan saja dalam kalangan masyarakat, bahkan juga kepada pengamal media tempatan dan antarabangsa yang berkampung di lokasi kejadian sejak hari pertama Nora Anne dilaporkan hilang.

Operasi mengesan Nora Anne membabitkan 353 anggota terdiri daripada pelbagai agensi

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi.

Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Kelmarin, ibu remaja istimewa itu, Meabh Jaseprine Quoirin, 46, menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga anaknya itu ditemui.

Polis dari England, Ireland dan Perancis membantu polis Malaysia melakukan siasatan berhubung kehilangan remaja itu.


Polis menafikan laporan media antarabangsa yang mendakwa pasukan SAR Nora Anne terlepas pandang beberapa petunjuk penting. FOTO Arkib NSTP

Kronologi Kehilangan Nora Anne Quoirin

4 Ogos 2019

Remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dilaporkan hilang jam 8 pagi oleh keluarganya di sebuah resort di Kampung Pantai di Seremban.

5 Ogos 2019

Seramai 159 petugas termasuk polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) dan penduduk tempatan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di hutan berhampiran resort.

6 Ogos 2019

Radius pencarian diperluaskan dari resort hingga ke kawasan sekitar meliputi hutan dan sungai membabitkan 8.09 hektar dan diklasifikasikan sebagai orang hilang namun jejaknya hanya dapat dikesan 100 meter dari lokasi hilang.

7 Ogos 2019

Selepas 72 jam SAR dijalankan, pasukan penyelamat masih belum menemui Nora dan skop pencarian diperluaskan meliputi bukit dan sungai berdekatan manakala polis sudah rakam percakapan 20 individu.


KENDERAAN anggota forensik polis tiba di lokasi pencarian. FOTO Iqmal Haqim Rosman

8 Ogos 2019

Pasukan SAR guna rakaman suara ahli keluarga untuk tarik perhatian Nora manakala ibu dan bapa remaja itu berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam usaha mencari anak mereka.

9 Ogos 2019

Pasukan komando VAT69 dikerah ke lokasi pencarian manakala kira-kira 300 jemaah menunaikan solat hajat di Masjid Kariah Pantai, Seremban agar remaja itu segera ditemui.

10 Ogos 2019

Genap seminggu Nora hilang namun operasi SAR terus diperhebatkan. Radius pencarian dikecilkan kepada empat kilometer dari lokasi kejadian berbanding enam kilometer.

11 Ogos 2019

Polis memeriksa lebih 30 rumah di sekitar kawasan Pantai, Seremban dan operasi membabitkan 296 anggota termasuk orang awam.

12 Ogos 2019

Anggota SAR ditambah seramai 348 anggota daripada pelbagai agensi terbabit termasuk polis dari England, Ireland dan Perancis yang membantu siasatan manakala keluarganya menawarkan ganjaran RM50,000 kepada individu yang berjaya menemukan semula remaja itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Ogos 2019 @ 6:45 AM